19.8.15

Kenangan dengan Nurse di Hospital Klang


Semalam, terbaca satu luahan panjang seorang jururawat berkenaan komen-komen pesakit dan waris yang viral kat media sosial. Yang kutuk kerja nurse. Apa yang dia kata tu, tak perlulah saya mention kat sini kot. Tapi memang amat memalukan dan menunjukkan betapa rendahnya mentaliti sebahagian kita ni terhadap para nurse.

Kalau saya jadi nurse pun, memang akan terguris tercalar bila dituduh dan diperkatakan begitu.

Selama hidup saya ni, saya kira saya banyak juga berjumpa dan berurusan dengan nurse. Dengan mak ayah yang bersilih ganti masuk keluar hospital suatu ketika dulu,  saya dah berjumpa macam-macam jenis nurse dan doktor juga. Dan bila saya check up mengandung dan bersalin, saya sendiri pun banyak jumpa nurse.

Ya, kalau Hospital Klang tu, memang tak ada la orang nak pegi beranak kat situ kalau memikirkan segala momokan orang - wad penuh, tak selesa, nurse mulut jahat dan tak friendly dan apa-apa lagi komen yang tak membina dan mematikan semangat nak beranak dengan tenang. Tapi, saya masih memilih Hospital Klang sebab waktu bersalin anak pertama, saya banyak masalah.

Saya ada diabetes, darah tinggi, uri di bawah, baby songsang. Jadi saya DINASIHATKAN supaya bersalin di hospital. Dan hospital terhampir waktu tu memang Hospital Klang. Saya dok di Bandar Botanic waktu tu.

Kali kedua, alhamdulillah tak banyak masalah sangat. Darah tinggi takde. Baby pun dalam kedudukan baik, uri pun naik sikit (sebelumnya uri di bawah). Cuma diabetes masih ada tapi terkawal. Itu pun saya masih ke Hospital Klang sebab tunggu Hospital Shah Alam tak buka-buka! Hehe.

Sepanjang saya check up, jumpa pakar, di wad dan dalam bilik bersalin hingga selepas bersalin, alhamdulillah semua nurse yang entertain saya baik-baik belaka. Dan nurse pun muda-muda je dari saya nampaknya. Peramah! Lagi kalau masa check CTG, nurse rajin bersembang sambil -sambil cari mana jantung anak. Nak mintak tolong apa pun ok je. Tapi agak-agak dan pandai kita lah kan. Sebanyak mana pun nurse kat wad tu kalut memanjang punya banyak kerja mereka. Jadi setakat sikit-sikit yang kita mampu, buatlah sendiri.

Macam luahan nurse tu lah, bukan kerja nurse pun kadang yang kita mintak tolong tu. Diorang buat sebab simpati. So hargailah sikit ye.

Bukanlah nak payung nurse sangat tapi kes saya, alhamdulillah dua kali saya bersalin di situ, kedua-dua kalinya pun ditemukan dengan nurse yang baik-baik. Saya percaya jika kita bersikap baik dengan orang insya Allah begitu juga orang lain dengan kita. Cuma kali kedua tak lama sangat kat wad. Takde komen sangat lah. Nurse kat PAC tu je yang macam garang sikit. Tapi so far ok.

Hormati pekerjaan orang lain. Mereka bekerja mencari rezeki. Macam kita juga.

#nurseosem


22.7.15

Raya Jawa Saya


Saya bukan orang Jawa tapi saya berjodoh dengan anak orang Jawa 

Maka secara automatiknya saya tetap akan beraya cara Jawa tiap-tiap tahun.

Apa yang special nya raya Jawa?

Dah tentulah makanan Jawa yang sedap air tangan mak mertua saya. Sehari sebelum raya, mak selalunya dah siap masak semua dah. Memang tak tunggu malam raya baru nak masak semua kecuali kuah lodeh. Last day puasa tu selalunya kami akan berbuka lauk raya dah.

Menu WAJIB raya kat rumah mertua saya:

Rendang ayam
Daging masak masam manis*
Kuah kacang
Nasi impit
Lemang
Kuah lodeh
Sambal goreng Jawa*
Sambal tahun*
Pecal

Menu yang bertanda (*) tu takde la wajib. Kalau mak larat atau abah yang masak, maka muncul la menu-menu tersebut. Macam tahun ni, ada daging masam manis (signature dish Wak Saiful - abah mertua saya) dan sambal tahun perut lembu. Kuah kacang signature dish mak mertua. Sedap gila. Saya tak belajar buat lagi tu. Dah 4 kali raya jadi menantu beliau dah ni 

Ish list down menu pun terasa kecur air liur. Hehe.

Pecal selalunya kemudian sikit baru muncul kat rumah mak. Selalu makan pecal kat rumah mak sedara kat Sijangkang atau kalau balik Perak, kat Bagan Datoh. Abah orang Jawa sana 

Kalau balik kampung Perak, lagi true la pecalnya. Lengkap!

Satu yang best raya Jawa... makan pecal ni kan banyak sayur-sayuran. Ketupat lemang kurang. Jadi takde la nak kolesterol sangat bagai.

Tahun pertama kahwin, balik Perak. Culture shock saya!

Pergi rumah sedara mara kebanyakannya jamu pecal.

Takde ketupat lemang ke?
Nasi minyak ke nasi tomato ke?
Laksa? Mi kuah daging? Nasi arab? Nasi daging air asam?

Haha saya lupa saya bukan beraya di Penang 

Jadi raya Jawa sangat sihat. Dah 4 tahun kahwin ni, dah biasa dan saya okey 

Gitu le raya Jawa saya. Sekian, selamat hari raya!

Gambar bukan pecal original. Husband saya buat versi sendiri letak sotong kembang. Kacukan rojak pasembor + pecal. Fusion gitu. Haha.

22.6.15

Tips 'Panjangkan' Masa untuk Working At Home Mom



Sejak seminggu kebelakangan ni, saya dok terfikir macamana saya nak buat semua kerja yang harus saya selesaikan ni supaya sempat tiap-tiap hari. Memang tenggelam punca kejap nak buat itu, kejap nak buat ini.

Boleh katakan saya LOST.

Saya memang sangat perlu cara nak squeeze segala urusan kerja rumah termasuk urus anak-anak, urusan bisnes dan freelancing supaya seimbang tiap-tiap hari. Saya cuba atur sendiri tapi setiap kali itulah banyak tak berjaya daripada berjaya. Kadang-kadang letih juga, walaupun kerja dari rumah, jangan anggap wahm semua ni dok rumah makan tidur je ye. Trend wahm zaman sekarang, tak menang tangan macam-macam urusan kena buat. Urusan rumah tangga dan bisnes. Kalau silap perhitungan, lagi letih daripada yang kerja pejabat.

Allah dengar masalah saya, mungkin. Terlintas di newsfeed FB saya, ada orang share tentang Tips Panjangkan Masa Sehari. Memang excited sungguh la baca. Dan saya cuba praktik sehari dua ini.

Alhamdulillah. Rasa lebih tenang. Kerja lebih teratur. Cuma nak kena mantapkan dan kerja lebih pantas.

Disebabkan tips ini sangat berguna dan berkesan pada saya, saya nak kongsikan dengan semua yang membaca jika melalui masalah yang sama dengan saya.

Semoga bermanfaat. Saya kongsikan apa yang saya baca di ibusayaceo.com

Tips #1
Siapkan jadual untuk keesokan hari sebelum tidur.
Tulis dengan detail tugas esok. Jadual akan bantu kita bekerja lebih teratur dan tak serabut.

Tips #2
Berpagi-pagi dengan Al-Quran.
- Wajib amalkan membaca Al-Quran selepas solat Subuh.
- Jangan tidur selepas Subuh.

Tips #3
Solat sunat dhuha seawal pagi.
- Buat 4 rakaat jika mampu.
- 2 rakaat untuk sedekah kepada ruas tulang yang sudi menyokong gerak kerja kita, 2 rakaat lagi supaya Allah cukupkan keperluan dan yakin dengan rezeki Allah.
- Saya cuba buat dalam pukul 7.30 ke 8.00 pagi sebelum anak-anak bangun. Sebelum ni selalu terlepas dek menguruskan anak-anak.

Tips #4
Tunaikan permintaan anak dahulu.
- Bagi yang ada anak kecil, apa saja permintaan anak, turutkan dahulu. Niat dalam hati, ini tanggungjawab dan juga rezeki.
- Kita berada di rumah pun sebab nak jaga sendiri anak-anak. Jadi, selesaikan anak-anak dulu. Kalau tak, fokus kita akan terganggu dan kerja akan terbengkalai, kita pun stres.

Tips #5
Solat awal waktu
- Ini memang wajib diamalkan. Cuba dan rasa. Insya Allah memang kita akan terasa kita ada banyak masa padahal sama saja setiap hari 24 jam untuk semua orang.

Tips #6
Masak di awal waktu
- Bagi wahm yang memasak di rumah, mungkin boleh ikut cara puan ceo ni (saya ikut cara beliau).
- Masak 1 jam sehari sahaja sekali dengan kemas dapur dan basuh pinggan.
- Breakfast dan lunch untuk anak siap sebelum jam 7 am. Dinner siap sebelum Asar.
- Bersihkan dan potong siap2 bahan masak sejurus balik membeli. Jimat masa memasak.

Tips #7
Malam, tiada kerja rumah. Tidurkan anak kemudian sambung kerja. Puan ceo pelajar master, jadi dia buat kerja master waktu begini. Saya buat kerja freelance atau schedule kan blog dan fanpage. Cuma kalau terlalu penat, saya tidur dahulu. Bangun awal dan sambung kerja tertunggak.

Tips #8
Urusan bisnes di waktu pagi.
- Urusan macam packing, postage, check order, reply pm
- Hadkan guna FB waktu tertentu sahaja

Selesai 8 tips. Cuma saya tambah sikit tips yang saya dapat di FB melalui seorang peniaga online (saya terlupa namanya).

Tips tambahan:
Amalkan solat sunat sebelum Subuh. Selepas selesai solat, baca Surah Al-Balad 1x.
Teruskan dengan solat Subuh. Selesai salam, baca ayat 1-3 daripada Surah Al-Fath (doa mohon membuka apa yang tertutup). Boleh ulang baca 3x. Teruskan dengan istighfar dan doa macam biasa.

Saya baru buat 2-3 hari dan alhamdulillah kesannya memang saya rasa. Anda pun cubalah. Insya Allah, sebanyak mana kerja pun dipermudahkan.

Sumber: http://ibusayaceo.com 


15.6.15

12 Makanan Sahur yang Bantu Banyakkan Susu Badan


KHAS UNTUK IBU-IBU MENYUSU

Lagi 3 hari kita akan bertemu Ramadan lagi, insya Allah. Salah satu kerunsingan ibu menyusu ketika berpuasa adalah tak cukup susu atau kering susu di waktu siang (untuk ibu menyusu direct atau pam).

Sebenarnya, ibu menyusu masih boleh berpuasa, tapi kalau dah sampai tahap memudaratkan kesihatan ibu atau bayi, ibu dibolehkan tidak berpuasa. Tapi sebolehnya mesti kita nak juga berpuasa, kan?

Untuk bantu ibu kekal bertenaga dan cergas sepanjang hari berpuasa dan insya Allah dengan penghasilan susu badan yang maintain dan lancar, jom saya kongsikan makanan yang boleh bantu banyakkan susu badan yang boleh diambil ketika bersahur.

1. BUAH KURMA
Kurma memang terkenal sebagai makanan ibu menyusu selain sinonim dengan bulan Ramadan. Kurma dapat bantu beri tenaga dan juga merupakan makanan sunnah.

2. BUAH-BUAHAN SEGAR
Digalakkan memakan buah-buahan untuk tingkatkan kuantiti cecair dan menambahkan vitamin dalam badan, selain menyegarkan badan. Boleh dimakan begitu sahaja atau dibuat salad. Sediakan pada malam sebelumnya dan simpan dalam peti sejuk.

3. SMOOTHIE / JUS HIJAU
Makanan hijau meningkatkan kandungan lemak dalam susu badan. Sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam, kailan, wheat grass dan lain-lain boleh dibuat jus atau smoothie (jika anda menggemari rasanya). Alternatif lain adalah spirulina, kelp, barley grass, daun alfalfa dan herba yang sesuai dibuat sebagai minuman ketika bersahur.

4. TELUR REBUS
Telur rebus adalah sumber protein dan asid lemak omega-3. Penting dalam diet ibu untuk hasilkan susu yang berkualiti. Kalau rasa boring sangat makan sebiji macam tu, boleh la buat salad telur (uish sedapnya!) atau kari telur. Boleh cicah dengan roti atau nasi juga. Ataupun boleh buat sandwich telur.

5. OATMEAL
Oat memang makanan yang terkenal dalam kalangan ibu menyusu di AS sebagai makanan penambah susu badan. Boleh cuba buat OVERNIGHT OAT - oat direndam dalam susu / cecair pada waktu malam dan disimpan dalam peti sejuk semalaman dan dimakan pada esoknya. Lagi sedap ditambah kekacang atau buah-buahan kering. Atau boleh buat granola bar.

6. HUMMUS
Sejenis dip yang lazimnya dimakan dengan roti. Dibuat daripada kacang kuda, antara menu terkenal dalam hidangan Arab. Kacang kuda dicampur dengan tahini (sesame seed butter). Nak lagi sedap, tambah bawang putih bakar.

7. KELADI BAKAR
Keladi dibakar, ditabur gula perang dan mentega. Dimakan panas.

8. SUP LENTIL
Boleh sediakan seperiuk untuk beberapa hari. Tambahkan jintan untuk menambahkan susu. Kacang hijau atau kacang pool juga bagus untuk tambahkan susu badan.

9. BADAM MENTAH
Kekacang memang makanan sahur terbaik sebab tak perlu persediaan. Tinggal kunyah saja. Selain badam, kacang macadamia dan gajus pun bagus juga.

10. LEMPENG GANDUM PENUH
Adunan lempeng disediakan pada malam sebelumnya, jadi masa sahur dapat dijimatkan. Nak tambah flaxseed pun boleh (sumber omega-3).

11. MUFIN UBI BIT
Sayuran berwarna merah mempunyai kandungan beta karotena (yang perlu lebih semasa menyusu). Kalau tak ada ubi bit, guna carrot pun boleh.

12. AIR MASAK
Ini sudah pastilah. Ibu perlu air yang cukup untuk hasilkan susu. Jangan minum terlalu banyak semasa sahur. Minum sedikit demi sedikit selepas berbuka hingga sebelum tidur. Selang sejam atau dua jam pastikan ambil sebotol kecil (500 ml) air.

Semoga ibu menyusu semua diberi kesihatan yang baik di bulan puasa ini!


1.6.15

9 Tabiat Pagi Orang yang Berjaya



Berpagi-pagian mencari rezeki 

Orang yang berjaya dalam hidup mesti ada tabiat pagi yang dilakukan setiap hari untuk memastikan hidupnya terus berjaya.

Jom tengok apa tabiat yang orang berjaya lakukan setiap pagi untuk memastikan kelancaran sepanjang hari.

Tabiat #1 - Bangun Sangat Awal

Kita digalakkan bangun awal untuk buat solat tahajud, taubat dan lain-lain. Bila bangun awal, kita tak rushing sangat untuk kerja seterusnya. Beberapa bulan ni saya cuba bangun seawal 4.30 pagi, selewatnya 5.45 pagi. Alhamdulillah ada banyak perkara boleh siap sebelum anak-anak bangun. Cuba bangun 15 minit awal daripada waktu yang anda biasa bangun. Tambahkan lagi 15 minit awal untuk hari seterusnya. Amalkan selama 21 hari. Insya Allah.

Tabiat #2 - Membakar Kalori

Bersenam ringan atau buat apa-apa aktiviti fizikal. Boleh menyegarkan tubuh. Kalau yang suri rumah tu, boleh buat kerja rumah macam menyapu ke. Buat senaman ringkas pun boleh.

Tabiat #3 - Dengar Motivasi

Manfaatkan 30 minit untuk dengar motivasi atau perkara yang mampu buat anda bersemangat. Dengar zikir atau bacaan Al Quran pun bagus. Motivasi perlu diperbaharui setiap hari.

Tabiat #4 - Tulis Jurnal Kesyukuran

Perhatikan hidup anda dan tulis 1 perkara yang anda syukuri. Tak kisahlah walaupun perkara kecil. Dengan bersyukur, hidup lebih tenang dan anda akan tempuhi hari dengan lebih matang dan kurang stres.

Tabiat #5 - Jawab Soalan Ini Setiap Pagi

"Jika hari ini hari terakhirku, apa aku akan buat?"

Pasti kita akan buat sesuatu yang terbaik, ye tak. Kita tak tahu sama ada kita akan hadapi lagi hari esok, atau tidak. Kalau perlu berubah, berubahlah. Cuba sesuatu yang baru.

Tabiat #6 - Lakukan Tugas yang Paling Sukar Dahulu

Anda tentukan tugas anda, dan tahap kesukarannya. Buat yang susah dulu sampai siap kemudian teruskan tugas yang lain. Kalau tak anda dah kurang tenaga dan semangat nak lakukan bila menjelang petang.

Tabiat #7 - Rancang Strategi

Gunakan 10 minit untuk rancang dan visualkan matlamat anda hari ini, dan senaraikan tugas yang perlu disiapkan. Buat master checklist pun boleh. Waktu pagi sangat sesuai untuk biasakan diri dengan tabiat ini sebab kita lebih bertenaga dan fokus di waktu pagi.

Tabiat #8 - Meditasi

Bertenang. Baca Al Quran pun bagus. Tak perlu lama. Kalau dapat 2 muka surat pun ok.

Tabiat #9 - Peluk Anak-Anak

Bagi yang ada anak, boleh peluk anak. Masa ini kita masih tenang dan kurang stres. Kurang kebarangkalian nak marah-marah anak. Anak juga boleh menenangkan dan bagi mood ceria untuk anda teruskan hari anda. Peluk dan cium anak selepas bangun tidur.

Begitulah 9 tabiat yang boleh dilakukan sama seperti orang yang telah pun berjaya.

Tabiat yang baik perlu dilatih dan dibiasakan. Insya Allah.

Semoga kita semua dimurahkan rezeki berpagi-pagian hari ini!



29.5.15

Ingat Pesan Mak yang Satu Ni





Semalam, sembang2 dengan mak. Oh saya kat rumah mertua sekarang ni. Balik sini sebab husband out station 3 hari. Biasalah hantar bini balik rumah mak. Hehe.

Satu keselesaan menjadi wahm atau berbisnes sendiri - masa yang fleksibel. Nak balik rumah mak bila-bila pun boleh. Dan hanya perlu ikut jadual husband. Saya ok je.

Maka semalam, sambil dok siapkan anak untuk tido, sembang-sembang dengan mak.

'Macamana mak jaga semua anak mak yang setahun sorang ni?'

Husband saya ada 8 adik beradik. Umur rapat-rapat.

'Ok je. Alhamdulillah la semua takde buat perangai apa. Elok je semua'

Tengok statement tu. Walaupun anak ramai, takde pembantu, abah keje bomba dan part time jadi driving instructor, mak tak keje - Allah bagi kemudahan kat mak ngan abah dengan anak-anak yang mudah dijaga.

8 orang tau. Saya yang baru 2 ni pun rasa macam mengah dah nak handle.
Lepas tu, perbincangan kami adalah topik suami buat kerja rumah. Haa ala-ala Semanis Kurma gitu kan. Haha!

Mak cerita, dulu abah tolong basuhkan baju. Ok, it was 30 years ago dan pada masa tu mak abah basuh baju GUNA TANGAN. Abah tolong basuh, mak sidaikan.

Oh macam saya ngan husband. Bezanya kami guna mesin. Hehe. Sekarang saya tau mana turunnya kerajinan tolong buat kerja rumah pada husband saya. Kuah tumpah ke nasi ler 

Alhamdulillah. Part tolong kerja rumah dan pandai berkemas memang kepakaran husband saya. Dan saya tahu ramai husband zaman sekarang pun macam itu. Walaupun isteri berstatus wahm tapi seharian dia di rumah dengan anak-anak pun dikira kerja juga. Isteri sangat menghargai kalau suami boleh bantu walaupun bantuan kecik macam tengokkan anak atau basuh pinggan 2-3 biji.

Berbalik kepada cerita mak, satu lagi yang saya anggap rezeki adalah jiran-jiran yang baik dan saling menolong. Masa mak dalam pantang atau tak sempat nak angkat baju yang disidai, jiran tolong angkatkan. Ada yang lipatkan pun. Sebab mak pun selalu tolong jiran macam itu. Sekarang ni? Haha kita nak berselisih dengan jiran pun payah. Apa lagi nak tolong angkat kain. Oh mak dulu dok kuarters. Rumah dekat-dekat je kan. Sama-sama tolong lah.

Lama jugak lah bersembang semalam. Macam lama tak balik pulak hehe. Sesekali orang tua nak bercerita, kita dengar aje. Bukan rugi pun. Pengalaman mak as sahm (stay at home mom) boleh jugak diguna pakai untuk saya yang wahm (work at home mom).

Dan satu lagi pesan mak:

Jangan biar baju tak berbasuh. Itu yang kena selesai dulu. Kalau dikumpul sekejap aje banyak lepas tu mula stres nak basuh. Penat macamana pun, baju TETAP kena urus siap.

Ah ha! Mak memang terkenal di kalangan anak menantu sebagai seorang yang sangat efisien pasal baju. Don't mess with mak. Mak tahu berapa scoop sabun atau softener yang kita guna kalau kita yang basuh baju dengan hanya mencium baju yang dah siap kering tu!

Tapi memang pun. Sejak saya jadi wahm, hari-hari basuh baju dan jimat kos nak pi dobi dan stress free tengok bakul kosong. Bab lipat dan simpan aje yang kena improve sikit.

Begitulah sharing daripada mak. Sangat berguna untuk saya. Dan rupanya abah kepada mak pembersih dan kemas orangnya. Patut la mak pun macam itu.

Maka saya pun kena lah jadi macam tu yedak? Insya Allah. Dengan peluang untuk berada dan bekerja di rumah bersama anak-anak, semoga saya dapat mendidik diri saya menjadi contoh kepada anak-anak saya. Ok saya garang sikit je. Hehe.


27.5.15

Tip Berpantang Sendiri: Ambil Masa untuk Rehat



Memang tak dinafikan, susah nak berehat bila beranak kecil. Tambahan pula bila ada anak yang sudah besar.

Tapi, mahu tak mahu kena lah berehat. Kena curi-curi masa dan dapat rehat sekejap pun tak apa dah kan. Kalau tak, mahu pening kepala satu hari.

Dah tentu tidur malam dah terganggu sebab berjaga anak nak menyusu dan tukar lampin. Tu tak termasuk kalau baby meragam lagi.

Jadinya, bila baby tidur, kita pun tidurlah sekali. Dapat lelap mata sekejap pun tak mengapa. Orang tua pun selalu pesan macam tu. Tidur sekejap masa anak tidur. Kalau tak, sampai ke sudah pun kita tak sempat tidur dan berehat.

Walaupun rumah bersepah, biarkan dulu sekejap. Tutup mata lah orang kata.

Bila cukup rehat, badan dan minda pun cergas sikit. Penting ni untuk kurangkan tekanan perasaan terhadap perubahan suasana baru. Kalau tak, mahu kelam-kabut dan mengundang palbagai masalah lain hingga tak dapat dikawal macam kemurungan. Emosi kena jaga, sebab tu kena cukup rehat.



Bye 2025, Hai 2026!

Syukur direzekikan jumpa lagi tahun baharu, Allah bagi peluang untuk jadi lebih baik dan baiki diri. Kredit: FB Introvert Hari pertama tahun...

Popular Post