3.2.15

Salun & Spa Muslimah - Siti Salon-Al Zahrah, Seksyen 7, Shah Alam


Bulan lepas, akhirnya berjaya potong rambut setelah sekian lama. Kenapa saya kata berjaya? Sebab sebelum tu asyik tertangguh nak cari masa nak selit ke salun. Saya sebenarnya ada salun favourite di Seksyen 18, Shah Alam. Tapi, bila call owner tu tak angkat pulak. Salun pun tutup. Jadinya saya terus google cari lokasi salun muslimah yang ada di sekitar Shah Alam.

Terjumpa di blog Ainul Mustafa tentang Salun Muslimah Al-Zahrah. Teruja nak pergi, lagipun saya agak familiar dengan Seksyen 7. Jadi, terus pergi ke sana. Tengok review nya pun banyak yang positif. Saya pun nak juga rasa sendiri.

Premis salun ni tak susah sangat nak cari. Dekat dengan Fareeda (kalau sesiapa yang biasa datang). Ini Seksyen 7 yang dekat area Jakel. Tapi on the other side. Saya biasa juga datang sini, pernah makan kat restoran kat sebelah bawah. Oh ya, salun ni kat tingkat 2, jadi kena mendaki tangga sikit lah ya.

Masa saya sampai, tengah hari. Daftar nama, dan tunggu. Kebetulan masa tu ramai customer. Kena tunggu lama sikit lah sebab dalam ramai-ramai pekerja tu pun (5-6 orang) semuanya occupied dengan customer. Ada yang tengah buat treatment, ada yang datang anak-beranak jadinya kena sabar menunggu.

Tapi, tak boring sangat nak menunggu pun sebab mula-mula customer dah dihidangkan secawan teh. Cewah. Dan boleh lepak-lepak depan tv sambil baca majalah. Taklah bosan menunggu sangat.

Saya selalu gunting rambut dan cuci sekali. Sesekali orang tolong syampukan rambut best jugaklah. Sambil-sambil tu diurutnya kepala sekali.

Pekerja semua muda-muda. Tapi nampak terlatih. Cepat aje buat kerja dan bagi saya, saya suka dan puas hati. Selain suasana yang selesa.

Yelah, zaman dulu-dulu, mak saya bawak gunting rambut kedai aunty Cina kat pekan. Sekarang dah payah sebab batasan aurat. Selain kedainya yang pintu terbuka, suaminya kadang-kadang keluar masuk. Dan masa itu dan saya rasa kebanyakan tempat luar bandar masih lagi macam tu. Jadi tepat sangat ada salun muslimah macam ni, kita rasa selesa dan aurat terjaga.

Kat sini, spa pun ada. Nak try jugak lah one fine day. Insha Allah lepas bersalin nanti ke.

Saya memang recommend salun ni kalau sesiapa yang tinggal sekitar Shah Alam. Kalau nak datang weekdays, ok je. Kalau weekend, better buat appointment sebab selalu penuh. Demand tinggi ooo.

Sesekali, best juga dapat rehatkan diri macam ni. Harga pun saya kira berpatutan. Gunting rambut dan cuci sekali hari tu saya bayar dalam RM46. Pada saya, masih ok.

Salun ni jugak tersenarai antara salun pilihan di wanista.com.

Kalau anda berminat nak cuba gunting rambut ke, merawat rambut ke atau rawatan spa boleh ke alamat ni. Untuk muslimah saja ye. 

Siti Salon Al Zahrah Shah Alam

14B, Jalan Plumbum Q, Seksyen 7, Shah Alam

29.1.15

Bagaimana Saya Meningkatkan Bacaan Hb Semasa Mengandung



Salah satu dilema ibu mengandung adalah bacaan Hb rendah.

Apa dia Hb rendah tu?

Senang nak faham, kurang darah. Hb tu hemoglobin. Hemoglobin ni peranan dia untuk angkut oksigen dalam darah. Maka kalau kurang hemoglobin, akan kuranglah oksigen yang diangkut dalam darah. Bila tak cukup oksigen, itu yang kita tengok orang yang Hb rendah ni selalu pucat, cepat letih, dan tak bermaya. Dan keadaan ni sangat bahaya untuk ibu mengandung. Sebab tu nurse dan doktor akan pantau betul-betul kalau bacaan Hb kita rendah.

Berapa bacaan yang dikatakan rendah tu?

Borderline reading adalah 11. Kurang daripada tu (9-10) memang kena top up dengan vitamin tinggi zat besi sebab mungkin kita tak ambik zat besi yang cukup dalam diet harian kita.

Saya juga salah seorang yang tergolong dalam kategori yang Hb rendah di trimester pertama. Tapi bacaan borderline lah. Tidaklah sampai terlalu rendah. Rupanya selama ni yang saya selalu penat dan letih walaupun cukup tidur dan rehat, kerap rasa berdebar tu antara tanda Hb rendah.

Masa check up pertama, terus nurse bagi Zincofer, multivitamin untuk ibu mengandung yang kandungan zat besi lebih tinggi berbanding Obimin. Kalau yang dapat Obimin tu, maksudnya Hb normal la tu. Kalau dapat Zincofer, maksudnya Hb rendah.

Saya mampu makan beberapa minggu sahaja Zincofer tu dek tak tahan pening dan rasa loya hingga ganggu kerja. Rasa nak tidur aje. Nurse memang dah bagitahu Zincofer ni memang kesannya macam ni dan saya dah bersedia tapi nampaknya saya tak boleh la nak telan lagi dah. Tak sanggup.

Saya bagitau nurse dan doktor, saya tak boleh continue Zincofer. Tak jadi kerja saya kalau sepanjang hari menahan pening macam tu. Saya cakap saya nak ganti ngan Shaklee. Saya bawaklah botol Vitalea tu tunjuk kat doktor. Dia kata ok boleh makan ni sebab ada iron tapi nak tau ok ke tidak, tengok bacaan Hb pada bulan berikutnya.

Saya ambil 1 tab saja. Kalau bandingkan kandungan zat besi (iron) memang jauh beza dengan Zincofer. Zincofer memang tinggi sangat iron dia.

Bulan berikut tu, bila check Hb -- tak memberangsangkan. Sedih jugaklah.

Lepas tu saya up jadi 2 tabs Vitalea, bulan seterusnya check up, nurse tak cakap apa pun. Yang di soundnya berat badan naik aje. Hb? Sepatah tak komen.

Bila saya tengok kat buku merah tu, rupanya reading ok! Alhamdulillah dah 11 ++  banding sebelum ni cukup-cukup makan.

Makanya, saya kena ambil 2 tabs Vitalea untuk bekalan zat besi yang cukup dan yang paling best saya tak pening :)

Jadi, saya continue ambil hingga sekarang.

Kalau kita ada pilihan yang lebih baik dan semula jadi (berbanding ubatan sintetik), baik ambik yang semula jadi, ye tak.

Untuk ibu-ibu mengandung yang ada masalah yang sama macam saya, saya sarankan ambil Vitalea ni. Bagus sangat, insha Allah. Lepas bersalin nanti pun elok diteruskan juga sebab nak menyusu.



Selain Vitalea, ibu mengandung juga digalakkan mengambil Ostematrix (tablet kalsium) bagi yang sukar minum susu

Pill box saya untuk sehari. 2 tabs Vitalea (hijau), 1 tab B Complex (kuning) dan 2 Vitamin C (putih)





27.1.15

Pasta Bolognaise Telur?


Rentetan tonsil bengkak kat anak, sekarang ni alhamdulillah bengkak makin surut tapi masih ada demam dan batuk berkahak.

Maka, kemanjaan beliau sangatlah ketara dan sikit-sikit nak ABAH. Huhu. Abah masuk bilik air, abah solat tak sampai seminit dah nangis-nangis panggil abah. Nak abah dukung. Layankan aje lah anak bujang kurang sihat.

Hari ni, anak tak ke taska. Abahnya teman di rumah. Lagipun nak mengurangkan dia terdedah kat kawan-kawan yang batuk kat taska. Kurang imun ni. Kadang makan Vitamin C Chewable tu tapi dihisapnya separuh, dilueknya balik.

Minyak ikan curi-curi masuk dalam susu... cuma sabar sikit bau minyak ikan tulen pekat melekat semerbak harummmm itu. Mealshakes ok la sebab sedap kan rasa vanilla gitu nya.

Maka lunch dua beranak di rumah adalah yang tak de jual di kedai ye tuan-tuan dan puan-puan.

Ta daaa!!

Pasta dengan bolognaise telur katanya. Hehe.

Ok lah nak juga anak ni makan. Dia memang geng dengan abah... selera sama. Makanan eksotik macam ni ummi nye pantang sikit. Orang kampung tak reti makan. Reti bolognaise ayam, daging atau seafood aje. Tapi sebab sebenarnya pak su nya yakni adik saya pernah buat menu macam ni tapi dihancurnya telur dalam kuah bolognaise tu maka rasa dan rupanya adalah pelik. Maka saya memang pangkah la bolognaise telur. Hahah. Tapi versi husband saya ni lain... nampak sedap jugak. Macam sambal telur pun ada ni. Hehe.

Apapun, menurut laporan abahnya, banyak anak makan. Berselera. Lapar agaknya. Ok la tu.

Kalau nak resipi, tanya husband saya. Hihi.

17.1.15

Misi Bangun Awal dan Kelab 5 Pagi



Seminggu ni, alhamdulillah mampu bangun sebelum Subuh. Saya taklah kata saya bangun jam 5 pagi setiap hari tapi setakat seminggu ni, memang sebelum jam 5 tu sebenarnya saya dah automatik terjaga (walaupun belum melompat dari katil...ahaks).

Betul. Bila kita buat sesuatu memang lebih baik secara berkumpulan. Bukan tak boleh sorang-sorang tapi kadang-kadang kalau terbabas atau tersasar kita sukar nak get back on track.

Manusia hari-hari perlu motivasi. Carilah sumber motivasi anda.



Saya join group Kelas 5 Pagi , initiated by Kak Aishah Amin. Sebenarnya sebelum tu lagi saya memang cuba nak buat tapi selalu sangattttt terbabas. Agaknya tak cukup kental lagi tu. Dan sekarang yang paling best adalah kami sama-sama buat (saya dan suami). Kadang tu dia lagi awal bangun. Hehe. Nak tak nak bini kena la bangun sama ye tak.

Sebenarnya, banyak sangat manfaat bangun awal pagi macam ni. Tambah lagi untuk saya yang ada anak kecik ni, sangat membantu saya buat kerja-kerja rumah sementara anak masih tidur. Kalau tak, dia pun ikut sama nak 'tolong' yang mana memang tak siap-siap la jawabnya.

Dan lagi satu, kita rasa lebih segar dan cergas. Maklumlah masih pagi.

Setakat ni, memang alhamdulillah sangat. Dan saya rasa seronok. Cuma kuncinya adalah KENA TIDUR AWAL.

Bila dah bangun, boleh terus mandi. Banyak kebaikan mandi sebelum Subuh, antaranya boleh KURUSSS :D. Boleh teruskan dengan solat Taubat, tahajud, hajat dan solat sunat sebelum Subuh. Boleh baca Al-Quran juga.

Saya asalnya terinspirasi daripada Kelab 4 Pagi oleh Dato' Roslan Ab Hamid. Insha Allah dah lulus cemerlang sebagai ahli Kelab 5 Pagi, akan up ke Kelab 4 Pagi pulak.

Contoh Check List untuk Kelab 4 Pagi

Nak bangun awal macam ni, mula-mula aje susah. Lepas dah istiqamah insha Allah senang. Tapi kena yakin dan kena lawan tarikan selimut... huhu.

Yakin dan istiqamah...30 hari atau 40 hari, insha Allah sesiapa pun boleh.


8.1.15

5 Cara Atasi Mengantuk di Pejabat


Imej: livestrong.com

Khamis!

Ada jugak orang yang lemau dan lesu pada hari Khamis. Tak mesti Isnin, kan.

Kenapa ya, kita rasa lesu, letih, mengantuk sewaktu kerja?



Saya kira ni bagi mereka yang bekerja dalam pejabat, bagi mereka yang banyak kerja luar, mungkin letih dan lesunya berbeza. Kalau bekerja di rumah, lagiiiii la ada masalah macam ni. Lagi besar dugaan pulak tu. Kain kotor bertimbun, drama bersiri best kat tv, pinggan kotor penuh sinki, mainan anak bersepah kat ruang tamu....tu pun boleh buat letih lesu juga (bila tengok..hehe).

Dipetik daripada WebMD.com, antara panduan yang boleh kita ikut untuk TIDAK RASA LETIH LAGI adalah:

1. Ambil sarapan. 
Walaupun anda jenis yang kurang ambil sarapan atau tak berapa lapar sangat waktu pagi, makanlah walau sikit. Sebabnya, ada kajian mengatakan dengan mengambil sarapan dapat mengurangkan rembesan hormon stres (kortisol). Selepas sarapan, ambil suplemen B-Complex. Suplemen ni boleh bagi rasa lebih tenang dan meningkatkan mood.

2. Makan dalam selang 3-4 jam. 
Tapi bukannya semua nasik ok! Small snacks. Untuk kekalkan paras gula yang stabil sepanjang hari. Paras gula tinggi tu yang buat mengantuk contohnya makan nasik lemak... opss. Makan parfait yogurt ke, granola / energy bar ke, potongan buah, cereal, protein dengan karbohidrat sikit dah ok.

3. Pilih makanan tinggi fiber.
Sebab mampu buat kita kenyang lebih lama dan tak craving for more foods. Pilihan terbaik untuk sarapan atau minum petang adalah Energizing Soy Protein (ESP). Tinggi fiber dan protein, dengan nilai GI yang rendah. Nak campur dengan apa-apa jus pun boleh. Atau bancuh dengan milo. Kalau saya bancuh dengan air suam aje.

4. Ambil omega-3.
Omega-3 selalunya diperolehi daripada ikan salmon dan tuna, minyak jagung, kacang walnut. Yang pentingnya omega-3 bantu tubuh menyimpan karbohidrat dalam bentuk glikogen (sumber tenaga dalam badan yang lebih baik daripada lemak). Omega juga baik untuk tingkatkan fungsi otak. Maka buat kerja pun efisien gitu. Kalau rasa kurang makan ikan atau apa-apa sumber omega-3 yang lain, ambil suplemen minyak ikan macam Omega Guard Shaklee. Sambil tu boleh bakar lemak juga :)

5. Kekal hidrat. 
Minum air secukupnya. 2-3 liter sehari. Air masak, sup, jus termasuk la sekali. Bukan air manis berkarbonat ye. Sebab aliran darah dalam badan kita perlukan air yang cukup untuk melancarkan proses-proses tubuh. Jangan risau kalau kena ke tandas selalu, minum banyak mestilah buang pun banyak. Takpe, tu salah satu cara badan menyingkirkan toksin dalam badan. Kalau nak kekal hidrat lebih lama, boleh juga ambil Performance Drink Shaklee, lebih baik daripada minuman isotonik lain yang tinggi gula.

Kalau mengantuk lagi, bawak-bawak la berjalan-jalan kejap atau basuh muka ke ;)





3.1.15

Salam Maulidur Rasul 1436H


Sumber: Youtube & Google

Salam Maulidur Rasul. Banyakkan berselawat ke atas Rasulullah. Jika belum atau jarang-jarang, mula sekarang. Yang dah biasakan diri, ganda-gandakan dan teruskan :)

Kalau masa sekolah dulu, sambutan Maulidur Rasul sinonim dengan perarakan, alunan selawat dan pertandingan nasyid. Ye - saya dulu masuk kumpulan nasyid tau. Those good old days hehe.

Sekarang ni, macam-macam jenis alunan selawat kita dapat dengar. Sedap pulak tu. Saya selalu dengar UNIC. Eh UNIC sekarang tak sama macam dulu. Lagu-lagu depa sedap tau. Sambil kita dengar, kita terikut sama. Tak sedar kita dok sama-sama ikut selawat.

Moh sama-sama banyakkan selawat hari ini. Saya suka yang ini:





Nota Syukur (Kelebihan Berselawat)



30.12.14

Awasi Simptom Penyakit Bawaan Air Ketika Banjir


Imej: Kementerian Kesihatan Malaysia

Banjir sudah mulai surut di sesetengah kawasan, namun masih ada lagi kawasan yang masih belum reda.

Biarpun banjir makin pulih, tapi harus diingat, impak dan fasa pemulihan pasca banjir amat penting dan besar.

Semoga semua mangsa TABAH.

Dalam pada itu, awasi juga penyakit-penyakit berjangkit dan penyakit bawaan air yang boleh mengancam kesihatan orang dewasa tambah lagi kanak-kanak.

Antara penyakit yang berisiko ketika banjir adalah cirit-birit dan demam kepialu (taun).

Awasi simptom-simptom berikut (jika berterusan) dan berjumpalah pakar kaunseling atau doktor:

- Resah gelisah
- Kurang bermaya
- Marah
- Murung

Simptom-simptom lain yang berkaitan dan perlu diambil perhatian, terus ke hospital jika berlarutan:

- Loya, muntah
- Cirit-birit
- Perut meragam
- Sakit otot
- Demam tinggi
- Masalah pernafasan (sesak nafas, sakit dada)

Ini kerana, air banjir mengandungi pelbagai bahan beracun yang juga berbahaya kepada kesihatan (bangkai binatang hanyut, sisa najis dan sebagainya). Apabila air surut, pertumbuhan kulat pada batang kayu atau papan juga boleh mengganggu sistem pernafasan, apatah lagi bagi pesakit asma. Juga hati-hati dengan besi karat dan paku yang terdedah.

Satu lagi penyakit berjangkit yang berisiko tinggi pada mangsa banjir adalah demam kepialu (taun atau tifoid).

Demam kepialu adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi (S.typhi) yang terdapat dalam najis atau air kencing pesakit - yang boleh mencemarkan bekalan air atau makanan.



SEGERA ke hospital jika anda mengalami atau ada orang di sekeliling anda yang menunjukkan simptom-simptom demam kepialu seperti:

- Sakit kepala yang amat sangat
- Perut sakit dan meragam
- Sembelit diikuti cirit-birit
- Demam tinggi yang berterusan selama 3 hingga 4 minggu
- Badan ditumbuhi ruam
- Mengantuk
- Cakap merapu / merepek
- Tidak sedarkan diri
- Pendarahan pada bahagian yang dijangkiti

Awasi juga anak-anak supaya tidak bermain air banjir untuk mengurangkan pendedahan kepada pelbagai masalah kesihatan.

Rujukan: Portal 1 Klik (maklumat daripada Utusan Malaysia)

Untuk maklumat lebih terperinci tentang demam kepialu - lagi simptom dan langkah pencegahan DI SINI.








Bye 2025, Hai 2026!

Syukur direzekikan jumpa lagi tahun baharu, Allah bagi peluang untuk jadi lebih baik dan baiki diri. Kredit: FB Introvert Hari pertama tahun...

Popular Post