26.5.15

Resipi Sambal Tumis Tanpa Guna Cili Giling atau Cili Kisar



Pernah tak rasa nak makan sambal tumis tapi takde stok cili giling atau tak sempat nak blend cili kering kat dapur?

Saya pernah. Tapi kes saya sebenarnya cari cili giling siap kat kedai tapi tak ada. Jadi dapatlah idea lain. Nak jugak masak sambal sebab masa tu dah janji dengan husband.

Pusing punya pusing 1 Speedmart tu tak ada satu pun cili giling. Macamana ni...saya dah tak kuasa nak pi kedai lain. Tup tup ternampak serbuk cili. Agaknya boleh guna ni kot. Tengok kat belakang peket ada resipi sambal tumis ikan bilis.


 

Gambar hiasan




Boleh ke ni?

Rembat ajelah dulu. Nak cuba. Mana tau sedap ke.

Maka balik rumah saya cuba masak. Tak yakin mulanya. Mesti tak sedap ni. Hah punya lah negatif.

Saya ikut aje resipi macam yang dicadangkan. Sampailah akhirnya...eh. Nampak ok macam sambal biasa. Rasa pun sedap jugak.

Yay! Berjaya buat sambal tumis akhirnya. Dan boleh je masak sambal tumis tak payah guna cili giling atau cili kisar. Haaa. Apakah lagi alasan yang membuatkan kita tak perlu masak? Teetttttt.

Saya cuba untuk sambal udang. Ok je. Lepas tu sambal ikan bilis. Pun ok. Nah saya share resipi nye. Senang je. Cer cuba.

Sambal Ikan Bilis Mudah dan Ringkas

Bahan-bahan:
1 genggam ikan bilis
1 biji bawang besar (dihiris)
3 ulas bawang putih (dihiris)
1 batang serai (diketuk)
2 sudu besar serbuk cili (dibancuh dengan air dan dijadikan pes)
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos tomato
Garam dan gula secukup rasa

Cara masak:
1. Panaskan minyak. Goreng ikan bilis hingga garing. Ketepikan.

2. Guna minyak yang sama, tumis bawang besar dan bawang putih hingga naik bau.

3. Masukkan pes cili. Masak hingga garing. Masukkan sedikit air. Kacau sebati. Masukkan serai.

4. Masukkan sos tiram dan sos tomato. Kalau nak berkuah sikit, tambahkan air lagi.

5. Bila pes cili dan sos dah sebati, perasakan dengan garam dan gula kalau perlu.

6. Masukkan ikan bilis goreng tadi. Gaul rata.

6. Siap untuk dihidang.

Senang, kan?

Saya rasa sangat praktikal guna ni kalau pi camping ke travel ke. At least boleh juga makan sambal tumis kan. Nak buat rencah untuk goreng mi ke pun boleh. Guna setengah atau 1 sudu je serbuk cili tu. Sesuaikan dengan tahap pedas yang anda suka.
Yang pasti, praktikal juga diguna di rumah. Bancuh aje dengan air, jadi pes.

Haa kan boleh masak sambal tumis tanpa guna cili giling atau cili kisar? Selamat mencuba!

15.5.15

44 Days: Tamat Akhirnya


Hari ke 45. Alhamdulillah tamat sudah pantang kali ini.

Satu pengalaman yang baru dan mencabar. Berpantang sendiri dan dalam masa yang sama menguruskan keluarga. Kalau tak tahan dugaan ni, memang boleh kemurungan ni.

Saya hanya berpantang 3 minggu sahaja di rumah mak mertua. Selain kesian kat suami nak kena ulang alik selang 3-4 hari (jauh jugaklah Shah Alam-Sepang), saya juga tak mahu menyusahkan mak mertua saya yang juga mengasuh cucu.

Jadi, kami ambil keputusan balik ke rumah lebih awal dan saya teruskan berpantang sendiri selepas meyakinkan suami yang saya boleh buat. Alhamdulillah. Habis juga akhirnya.

Satu perkara yang saya sangat bersyukur sebab luka jahitan tak banyak. Luka pulih dalam seminggu dan saya agak bertenaga nak urus diri, anak dan baby. Kalau dulu, luka jahitan besar. Lama saya berpantang di rumah mak mertua. Beza sungguh pantang dulu dengan sekarang. Dan yang pastinya saya tak tinggal semua vitamin saya.


Ibu berpantang dan menyusu, jangan abaikan pengambilan vitamin selain jaga makan. Keduanya sama penting untuk pastikan kesihatan tip top untuk hasilkan banyak susu dan jaga baby serta urus keluarga.

Serius.

Saya dulu masa anak sorang, hopeless benar rasanya. Terlalu penat. Sedangkan saya di rumah sahaja. Dan masa tu tak aktif berbisnes lagi pun.

Saya tak mahu ulangi lagi dan alhamdulillah keadaan bertambah baik dan dah tentu dengan sokongan suami jugak.

So, dah habis pantang... boleh jalan-jalan! Yeay 

12.4.15

44 Days: Cara Pulihkan Luka Bersalin dengan Cepat


Saya sebetulnya ada lagi rasa trauma kalau fikir luka bersalin masa melahirkan anak pertama. Orang kata, biasa la anak pertama. Kita belum ada pengalaman dan 'jalan' pun belum ada.

Jadi yang kedua ni, berharap sangat luka tak terlalu besar dan cepat baiknya. Alhamdulillah kali ni luka kecil saja dan makin pulih, sekaligus memberi ruang saya untuk sihat bertenaga lebih cepat.

Hampir 2 minggu berpantang, saya dah boleh buat kerja rumah yang ringan-ringan dan mengendalikan baby. Kalau dulu... banyak urusan mak mertua lah yang tolong sebab saya tak boleh bergerak banyak dan nak bergerak pun sakit.

Antara petua nak pulih luka bersalin dengan cepat (untuk episiotomi, bersalin normal bukan pembedahan):

1. Sapu / letakkan ubat kuning atau ubat luka.

Ubat ni disediakan hospital. Pastikan kawasan luka kering dan dicuci dengan air suam. Lepas tu letak ubat pada kapas dan tekapkan pada luka. Atau nak cepat, boleh siram perlahan-lahan (untuk luka yang agak besar).

2. Jangan duduk bersila atau mencangkung di hari-hari awal selepas bersalin.

Keadaan macam ni boleh membuatkan jahitan luka terbuka sebab luka masih baru. Jadi kena duduk bersimpuh dan jalan pun kena kepit-kepit sikit. Dah banyak hari baru boleh bersila bergantung keadaan lah.

3. Tukar pad dengan kerap.

Kalau pad penuh, tukarkan. Kalau lama sangat pakai pad yang dah penuh boleh mengundang kuman sekaligus mempengaruhi tempoh luka nak pulih.

4. Elakkan makanan yang gatal.

Sesetengah ikan boleh menyebabkan gatal. Macam kembung, cencaru dan bawal hitam. Telur pulak dikatakan boleh melambatkan luka pulih. Jadi elak kejap makanan macam ni. Kalau tak kita sendiri tak selesa dan takut masalah lain pulak yang timbul.

5. Minum pati / air gamat, pati ikan haruan.

Saya pernah cuba ambil gamat tapi tak mampu konsisten. Tapi saya pernah juga terbaca yang gamat atau pati ikan haruan sebenarnya kurang membantu dalam memulihkan luka pun dan kurang digalakkan diambil oleh ibu lepas bersalin. Wallahua'lam.

6. Ambil suplemen zink.

Unsur zink dikatakan mampu bantu pulihkan luka dengan cepat. Selain dapat mengurangkan rambut gugur (dilema orang bersalin) dan menguatkan sistem imun ibu lepas bersalin.

Untuk luka biasa, insya Allah seminggu dua lepas bersalin luka mulai pulih.