Saya sebetulnya ada lagi rasa trauma kalau fikir luka bersalin masa melahirkan anak pertama. Orang kata, biasa la anak pertama. Kita belum ada pengalaman dan 'jalan' pun belum ada.
Jadi yang kedua ni, berharap sangat luka tak terlalu besar dan cepat baiknya. Alhamdulillah kali ni luka kecil saja dan makin pulih, sekaligus memberi ruang saya untuk sihat bertenaga lebih cepat.
Hampir 2 minggu berpantang, saya dah boleh buat kerja rumah yang ringan-ringan dan mengendalikan baby. Kalau dulu... banyak urusan mak mertua lah yang tolong sebab saya tak boleh bergerak banyak dan nak bergerak pun sakit.
Antara petua nak pulih luka bersalin dengan cepat (untuk episiotomi, bersalin normal bukan pembedahan):
1. Sapu / letakkan ubat kuning atau ubat luka.
Ubat ni disediakan hospital. Pastikan kawasan luka kering dan dicuci dengan air suam. Lepas tu letak ubat pada kapas dan tekapkan pada luka. Atau nak cepat, boleh siram perlahan-lahan (untuk luka yang agak besar).
2. Jangan duduk bersila atau mencangkung di hari-hari awal selepas bersalin.
Keadaan macam ni boleh membuatkan jahitan luka terbuka sebab luka masih baru. Jadi kena duduk bersimpuh dan jalan pun kena kepit-kepit sikit. Dah banyak hari baru boleh bersila bergantung keadaan lah.
3. Tukar pad dengan kerap.
Kalau pad penuh, tukarkan. Kalau lama sangat pakai pad yang dah penuh boleh mengundang kuman sekaligus mempengaruhi tempoh luka nak pulih.
4. Elakkan makanan yang gatal.
Sesetengah ikan boleh menyebabkan gatal. Macam kembung, cencaru dan bawal hitam. Telur pulak dikatakan boleh melambatkan luka pulih. Jadi elak kejap makanan macam ni. Kalau tak kita sendiri tak selesa dan takut masalah lain pulak yang timbul.
5. Minum pati / air gamat, pati ikan haruan.
Saya pernah cuba ambil gamat tapi tak mampu konsisten. Tapi saya pernah juga terbaca yang gamat atau pati ikan haruan sebenarnya kurang membantu dalam memulihkan luka pun dan kurang digalakkan diambil oleh ibu lepas bersalin. Wallahua'lam.
6. Ambil suplemen zink.
Unsur zink dikatakan mampu bantu pulihkan luka dengan cepat. Selain dapat mengurangkan rambut gugur (dilema orang bersalin) dan menguatkan sistem imun ibu lepas bersalin.
Untuk luka biasa, insya Allah seminggu dua lepas bersalin luka mulai pulih.