4.12.16

Rumah Sihat vs Anak Sihat


Rumah sihat - rumah yang kemas, bersih, tersusun. Maksudnya bila-bila masa saja boleh terima tetamu ni.

Anak sihat - boleh main, aktif, nak makan minum dan 'sepahkan barang'.

Istilah rumah sihat tu sebagai kiasan saja ya. Saya cuma nak buat perbandingan antara rumah yang berkemas rapi dan bersih dengan anak-anak yang aktif dan lasak.

Faham ke?

Ok macam ni.

Situasi 1

Rumah kita dah kemas, dah susun semua barang in place, dah bersih dari ruang tamu sampai ke dapur. Lega dan sejukkkk je mata memandang keadaan macam tu kan. Tak semak perut, tak semak mata. Tapi anak kita macam-macam kita larang. Banyak sangat peraturannya.

"Jangan panjat meja tu!"

"Jangan sepahkan buku. Ummi dah susun"

"Sapa suruh sepahkan mainan ni, kan ummi dah simpan dalam bakul"

Tu antara ayat-ayat saya kat rumah. Yelah kita dah penat mengemas semua, sekelip mata je pemandangan berubah jadi huru-hara.

Hati mak mana yang tak sakit, betul tak?

Tapi, kita tak sedar yang budak-budak tu dah dihalang kreativiti dia. Kebebasan dia bermain dan meneroka.

Semua pun tak boleh, habih tu apa pilihan lain yang kita bagi?

Tengok tv?

Memang selesai lah masalah. Kita pun happy rumah tak sepah. Anak dok diam melangut tv berjam-jam. Tapi apa implikasinya?

Budak jadi kasar, kurang nak main sebab sibuk nak tengok tv, terpengaruh dengan unsur kurang baik (bergantung program yang ditengok).

Bila dah makin besar, makin ketagih nak tengok tv aje. Masa tu, kita pulak yang dok bising kat anak apsal asyik nak tengok tv je. Padahal tak banyak sikit, kita yang menyebabkan anak jadi macam tu.

Situasi 2

Rumah bersepah dengan mainan. Anak lari sana-sini main gurau senda adik-beradik. Satu-satu bakul mainan dipunggah. Buku dan majalah ada yang terkoyak-koyak dek depa main. Panjat meja, tolak kerusi sana-sini.

Penat main, haus mintak air. Lapar, mintak makan. Kenyang, tidur dan rehat. Bau sorang-sorang dah masam dek peluh.

Memang rumah bersepah. Sakit mata maknye. Tapi anak-anak puas hati. Puas main. Bebas teroka benda yang ada di sekeliling dia. Dan dalam masa yang sama, mak pun boleh ajar anak hands on.

Dah bersepah, ajar anak kemas sama-sama. Air atau makanan tumpah, ajar lap dan kutip. Bukan kita nak sempurna tapi nak dia belajar apa yang dia kena buat bila berlaku benda macam tu.

Takkan asyik tak boleh, jangan, don't do this and that. Kita pun penat. Anak pun menyampah semua benda tak boleh buat.

Tapi taklah bermakna kita sentiasa biar dia buat apa dia suka. Yang bahaya dan tak boleh, tetaplah dilarang. Tapi kena explain.

Anak membesar sekali je. Memang haru biru rumah dibuatnya masa depa kecik. Esok anak dah besar, kita rindu pulak zaman tu. Dan masa tu agaknya rindu jugak nak mengemas tapi takde apa yang nak dikemas dah sebab tukang sepah dah besar!

Pada saya, biarlah rumah macam tongkang pecah pun asalkan anak bebas bermain. Dengan bermain pun dia belajar. Taknak rumah sepah, boleh bagi alternatif lain. Keluarkan mainan sikit-sikit atau bagi kertas dan warna biar dia conteng, contohnya lah. Sesekali bagi tengok tv ok je bagi saya tu pun patut dengan pantauan. Ada setengah kartun pun bukannya ajar moral yang baik.

Anak bawah 6 tahun memang takkan duduk diam. Dan saya percaya rumah yang terlalu kemas bukan rumah yang 'sihat'. Melainkan ibu nya super mama yang pantas mengemas dan bersistem orangnya.

Saya? Tak. Bab mengemas memang ke laut.

Apapun yang kita pilih, pastikan itu yang terbaik untuk anak kita.

2.12.16

Cerita Suri Rumah di Penghujung 2016


Sebagaimana rasa cepatnya berlalu tahun lepas, tahun 2016 juga saya rasa perkara yang sama.

Tahun lepas, bersalin dan menyusu. Rupanya tahun ni berulang lagi - mengandung dan bersalin.

Alhamdulillah rezeki Allah bagi.

Memang kalut jugak. Baru nak biasa dengan rutin mak anak dua, tetiba kena ubah lagi jadi rutin mak anak tiga. Memang serius penat, dan bila rasa penat gila tu selalu teringat kat mak-mak yang beranak ramai dan rapat-rapat.

Lagu manalah depa manage keluarga ye?

Saya yang ada tiga ni pun rasa tak termampu, macamana lah yang ada 5, 6, 7 dan ramai lagi tuuu.

Sebenarnya boleh saja. Mak-mak ni selalu ada kekuatan luar biasa yang entah mana datangnya. Selain kekuatan tubuh, kekuatan suara pun sama naik jugak. Mana taknya dengan kerenah yang macam-macam tu, saya ni daripada yang boleh kontrol cool sampai tak menahan nak berleter dan suara naik jugaklah.

Adui jadi mak singa hari-hari!

Tapi macamana pun tak dapat menandingi kepuasan jadi suri rumah, jadi mak yang berada di rumah dengan anak-anak. Walaupun ada ketikanya rindu jugak nak kembali bekerja.

Tapi tak mengapalah. Ada kat rumah jaga anak pun rezeki. Yang bab rezeki duit, kita usahakan juga dengan apa yang boleh dari rumah, ye dak.

Oklah, pagi Jumaat pertama dalam bulan Disember disambut nyaman dan dingin.

Ada kisah Mak-mak yang sudah resign dan cerita inspirasi mak-mak yang bekerja di rumah yang saya nak kongsikan.

Bulan Disember, bulan meraikan mak-mak yang berimpian bekerja di rumah dan juga mak-mak yang sudah pun berada di rumah.

Suri rumah pun kerjaya tau. Hehe.

29.11.16

Tenaga Ibu Berpantang


Alhamdulillah hari ini dah hari ke 19, ada lagi baki 25 hari nak kena teruskan pantang.

Errr.. kadang-kadang dalam haru biru uruskan rutin baru sebagai mak anak tiga, hampir lupa dah kita ni masih lagi dalam tempoh pantang. Beza banding masa pantang anak sulung dulu, masa tu luka jahit besar. Nak gerak agak payah dan sakit. Lama jugak nak baik luka tu. Yang kedua ketiga ni alhamdulillah luka sikit saja, cepat baik dan hmm memang rasa sihat cepatlah, walaupun pada hakikatnya pantang tetap kena pantang jugak.

Tapi itulah, masalahnya bila rasa cepat sihat ni, kita jugak rasa mampu nak buat macam-macam a.k.a kerja rumah dan kerja yang biasa kita buat. Sebenarnya nak kena orang bantu dan kena rehat dan rawat diri (sebenarnya) tapi dengan tuntutan urusan rumah tangga yang lain, memang tak dapat tak, gagahkan jualah buat.

Ikut betul-betul, ibu pantang tak boleh angkat barang berat, tak boleh berendam air (mandi lama, basuh pinggan banyak, basuh baju beria) - itu yang paling utama lah.

Setakat ni masih kat umah mak mentua, boleh tahan lagilah. Esok dah balik sambung pantang kat rumah, silap-silap lupa masih dalam pantang!

Macam saya ni, ada benda terpaksa jugaklah buat tapi saya cuba minimumkan lah. Maklumlah, nak ambik pembantu jaga masa pantang, tak mampu. Nak order makanan pantang pun agak-agak kurang mampu juga tengokkan harga pakejnya. Huhu. Jadi terpaksalah kita buat mana yang boleh dengan kudrat yang ada masa pantang ni. Memang menderhaka betuilah.

Semoga Allah bagi kekuatan dan kesihatan berpanjangan pada saya untuk terus urus keluarga. Insha Allah saya mesti boleh.

27.11.16

Berpantang Tak Berapa Tenang


Bila kau sepatutnya fokus pada baby baru, tapi hidup tak tenang dek perlu juga fokus pada anak-anak yang lebih besar yang tahap melasak diorang tu boleh menyebabkan keluar suara harimau - cuba cakap macamana kau nak berpantang tenang?!

Ok, ok.

Bagi canlah maktang ni buat luahan perasaan sikit. Hoho.

Anak sulung, alhamdulillah boleh bawak diri dan boleh dikawal. Boleh juga nak minta tolong yang simple.

Anak no dua, lasak kemain. Umur tengah explore everything. Umur memanjat kerusi meja. Umur sepahkan barang. Umur yang mana dia akan buat benda yang kita kata jangan. Saya memang lose temper juga dengan kerenah anak no dua ni tapi mengenangkan umur dia ni memang perangai budak macam tu, kalau kat rumah saya ni, boleh la saya kontrol. Ni kat rumah orang walaupun rumah atok wan dia tetap bukan rumah sendiri kan. Merata ceruk dia masuk main, segala almari nak buka, ketuk almari kaca. Mau tak gugur jantung saya. Dah lah kalau dia dok melasak tu saya tengah menyusu adik baby tu, apa yang saya boleh buat?

Memang dugaan betul. Dan besar betul cabaran. Nak dihalang sangat, kang terbantut proses eksplorasi dia. Tak dihalang, bahaya. Kadang tu menjerit la juga, marah pun ya. Hangin betul.

Sangat menguji kesabaran!

Semoga saya tabah nak harungi hari-hari berpantang yang berbaki. Semoga saya kuat nak jaga suami dan anak-anak. Minggu depan insha Allah nak balik home sweet home dah 

23.11.16

Our New Bundle of Joy


Alhamdulillah, akhirnya dah selamat melahirkan anak dan sedang dalam proses pantang.

Kali ni dapat baby girl selepas 2 boys. Pengalaman baru juga ni.

Mencabar juga pantang kali ni sebab dah ada 2 toddlers yang kena jaga jugak. Dan yang nombor 2 tu pun tumpang breastfeed, maka berlakulah tandem nursing yang mana sangat memerlukan tenaga yang banyak. Huhu.

Semoga bertabah untuk habiskan 44 hari pantang. Dan juga bertabah untuk terus sabar dan kuat menjaga keluarga sambil merawat diri sendiri.

2.11.16

Panduan Buka Buku Merah dan Rutin Check Up Hamil di Klinik Kesihatan Kerajaan


Ibu yang pertama kali hamil atau pertama kali nak check up kat Klinik Kesihatan (KK) kerajaan, meh baca sikit rutin check up yang akan dilalui sepanjang kehamilan sampai bersalin.

Ini prosedur sekitar tahun 2016 ya.

Bukan apa, mungkin macam banyak prosedur atau leceh tapi percayalah setakat pengalaman saya yang 3 kali check up kat KK ni, alhamdulillah berbaloi dengan servis kesihatan yang satu ni dengan langsung tak kena bayaran. Gunakan peluang ni sebaik-baiknya :)

Ok, ni panduan untuk ibu yang hamil pertama kali ya. Anak pertama lah senang kata. Kiranya ni step nak buka buku merah. Buku merah ni buku rekod kesihatan sepanjang hamil. Biasa orang panggil buku merah sebab cover buku ni warna merah. Kena simpan betul-betul tau dan perlu bawak ke KK setiap kali check up.

Oh ya, sebelum ke KK, pastikan dah buat ujian kehamilan. Sama ada test sendiri guna pregnancy test kit atau check di klinik swasta. Dah confirm hamil, baru ke KK. Sebolehnya bukalah buku merah sebelum kandungan mencecah minggu ke 12 (3 bulan). Kalau ada apa-apa masalah kesihatan, doktor boleh pantau dari awal.

Gambar: myhealth.com.my


Panduan Buka Buku Merah

1. Kenal pasti dan pergi ke KK yang paling dekat dengan rumah. KK hanya akan terima penduduk yang dalam area berdekatan KK tu je berdasarkan alamat rumah kita. Kalau ke KK lain, mungkin diterima juga tapi akan dilayan sebagai pesakit luar kawasan.

2. Pastikan bawak IC. Bawak juga surat atau kad nikah. Ada KK yang perlukan dokumen ni untuk teruskan pendaftaran.

3. Di KK, selalunya nurse akan mintak kita letakkan IC dalam bakul. Letakkan je. Nanti nurse akan ambik dan bagi nombor giliran. Atau ada KK akan terus bagi nombor giliran selepas letak IC tu.

4. Dah dapat nombor giliran, haa tunggulah sampai nama atau nombor dipanggil. Ada KK yang akan suruh pegi kencing dulu (untuk urine test). Urine test untuk check albumin dan sugar dalam urin. Selalu lepas kencing, kena letak botol berisi urin tu kat tetingkap makmal.

5. Bila nama atau nombor dipanggil, nurse akan interview untuk isi details pada buku merah. Menjawab la ye. Hehe. Banyak soalan pasal details suami isteri dan sejarah kesihatan keluarga si ibu. Semua maklumat ni penting untuk tentukan tahap kesihatan ibu semasa hamil. Step ni akan ambik masa sikit sebab nak kena rekod details satu-satu, dan secara manual (tulis tangan). Dan nurse kena tulis pada 2 buku (1 buku untuk ibu, 1 untuk KK). Nurse akan tentukan tahap risiko ibu dengan letak stiker kat cover buku merah. Stiker putih, hijau, kuning atau merah. Ada maksud setiap warna tu. Entri lain kita cerita okey.

6. Lepas tu, timbang berat dan ukur tinggi. Untuk kira BMI. Berat badan penting untuk tahu di awal kehamilan untuk pantau kenaikan berat badan sepanjang hamil sama ada normal, kurang atau lebih.

7. Check tekanan darah (blood pressure). Nak check tekanan darah normal atau tak. Terlalu rendah atau tinggi. Bacaan normal, 120/80.

8. Ambil darah. Untuk check kumpulan darah dan Rh, paras Hb (hemoglobin) dan rapid test HIV. Sebelum ambik darah pertama kali ni, ibu kena sign borang kebenaran dulu. Keputusan ujian darah mungkin ambik masa bergantung pada ujian. Ada yang terus dapat tahu, ada yang kena tunggu sebab tak semua KK ada makmal lengkap. Kalau tak dapat result on the spot, on the next appointment tu nurse akan kepilkan result.

9. Kalau ibu termasuk dalam golongan berisiko kencing manis, nurse akan set appointment untuk ujian MGTT (minum air gula). Biasanya seawal minggu 9-12 dah boleh buat. Pantauan lebih awal lebih baik kalau memang betul ada kencing manis. Jangan ngelat pulak. Untuk kesihatan ibu dan baby, telan ajelah air gula tu sambil tutup mata. Tips untuk minum air gula dengan tenang, nanti kalau rajin saya kongsikan dalam entri yang lain ye.

10. Selesai proses, nurse akan bagi satu buku untuk simpanan ibu. Buku tu lah yang akan dirujuk setiap kali check up. Kalau ke klinik swasta atau hospital pun, bawa buku merah ni supaya mudah doktor yang buat pemeriksaan tu nak rujuk dan rekod.

Lepas tu, nurse akan bekalkan pil asid folik. Penting untuk ambik asid folik dalam 3 bulan pertama hamil untuk kurangkan risiko spina bifida kat baby. 

Orait dah boleh balik. Seterusnya datang KK lagi pada tarikh dan waktu yang ditetapkan. Kalau tak boleh datang, call KK dan inform nurse nak tukar tarikh atau masa. Jangan tak datang terus pulak.

Ok, meh kita tengok rutin untuk ibu yang dah ada buku merah pulak. Maksudnya yang datang KK untuk normal check up. Tiap-tiap bulan kena check apa je ek?

Secara umumnya, bagi ibu yang tak berisiko, check up sebulan sekali hinggalah kandungan 7 bulan (2 minggu sekali), 9 bulan (1 minggu sekali). Ibu berisiko yang ada kencing manis, darah tinggi atau darah rendah, Hb rendah selalunya check up 2 minggu sekali.

Setiap kali check up, kena check ni:
1. Berat badan
2. Tekanan darah
3. Paras Hb
4. Urine (albumin dan sugar)
5. Nadi
6. Edema (bengkak, selalu check kaki)

Bila dah 6 bulan ke atas, dah boleh rasa gerak baby, ibu akan kena cucuk kancing gigi. Lepas tu dah boleh start isi carta gerak baby pulak. Setiap kali check up akan check denyutan jantung baby (bacaan normal 140-160). Kalau kurang daripada tu, salah satu sebab ibu kurang minum air, ni komen doktor masa akak pernah sekali check, jantung anak dalam 120+ je.

*Cucuk kancing gigi ni kat lengan. Memang akan rasa sengal lengan tu dalam 2-3 hari*

Macam nilah serba ringkas cara check up di KK. Apapun bergantung kepada keadaan kesihatan ibu, ada yang perlu check up seminggu sekali, 2 minggu sekali. Ada juga yang perlu refer ke hospital untuk konsultasi doktor pakar.

Ikut je appointment yang nurse dan doktor di KK dah tetapkan. Yang penting baby dan ibu selamat, insya-Allah.

Yang sedang hamil, tahniah dan selamat menjalani alam kehamilan dengan tenang. Yang masih mencuba, semoga Allah permudahkan ya.

Semoga bermanfaat!

=====================================================================

Dapatkan info tentang ibu mengandung diabetes (GDM), 


1.11.16

Nasi Arab Sedap di Restoran Zam Zam Seksyen 9 Shah Alam

Semalam, ada rezeki dinner kat Restoran Zam Zam, yang sediakan arabic food. Teringin nak makan nasi arab. Kalau tak masak sendiri guna pek nasi arab Al Bayt tu, kat sinilah jadi pilihan nak makan nasi arab sedap.

Walaupun ada banyak restoran nasi arab, rasanya sekarang ni lagi bercambah dengan pesat, bagi saya dan husband, kat sini jugaklah yang paling kena dengan selera kitorang.

Semalam order mandy ayam, kabsah ayam, grilled chicken, mushroom soup. Air pulak, barbican strawberi, watermelon juice dan honeydew shake. Alhamdulillah makan dengan jayanya semalam, habis licin semuanya. Anak-anak pun kemain tak berenti bercakap dalam restoran, excited sungguh, agaknya satu restoran tu dengar suara diorang je. Hehe.

Gambar makanan hanya sempat snap mandy dan kabsah ayam je sebab tak menyempat dah nak makan. Haha. Maklum la dengan kanak-kanak ribena ni, tangan tu cepat sangat nak mencapai apa yang ada depan mata. Jadinya ummi abah nye nak kena bertindak pantas la.

Ok berkenaan menu kat restoran ni, rasanya dah banyak perubahan compare dengan masa kitorang datang dulu-dulu. Macam banyak yang lebih menarik je. Portion dia pun ngam-ngam kira kenyang la. Taklah sikit atau banyak sangat.

Kalau nak order individual menu boleh, nak order set pun boleh. Ada yang set untuk 2-3 orang, 4-6 orang. Senang la kalau datang sekeluarga. Nak buat tempahan pun boleh.

Selain nasi arab, itu pun dah macam-macam jenis, ada hidangan salad, roti, seafood, ayam, daging kebab. Kebanyakan menu arab ni tak pedas sangat, jadi senang nak buat pilihan menu untuk anak.

Macam kitorang makan semalam, mandy dengan kabsah ayam tu of course dah sedap (cewah). Set nasi disertakan sup dan kuah/sos (ala air asam pun ada). Individual nasi arab dalam RM15-RM20 gitu lah. Depend jenis nasi dan lauk - ayam atau kambing.

Grilled chicken set ada 2 keping isi ayam gril, fries, hirisan kobis putih dan ungu, sekeping roti, mayonis dan sos tomato. Tapi pada saya, sos dengan mayonis tu lain sikit rasa dia. Unik sikit tapi sedap. Harga dalam RM18, tak silap.

Mushroom soup pun sama. Beza dengan yang kita makan kat Pizza Hut. Mushroom soup ni pekat, creamy dan rasanya lebih susu kot tapi tak muak. Mushroom pieces pun banyak. Harga semangkuk RM18 ke RM19.

Jus dia sedap. Rasanya tak tambah gula pun. So original punya flavour. Watermelon dan honeydew tu dua-dua secukup rasa. Barbican tu taktau le rasa macamana sebab tak rasa pun. Hehe. Air berkarbonat arab kot ye.

Jadi begitulah komen tentang makanan kat Restoran Nasi Arab Zam Zam. Selain makanan sedap, persekitaran pun selesa. Boleh pilih nak makan kat dalam atau luar. Servis pun agak cepat, taklah menunggu lama sangat. Parking pun bukan masalah besar sangat lah sebab ruang parking banyak.

Oklah, kalau yang dah ngences tu, silalah ke sana ye. Ni alamatnya, restoran ni insha Allah senang nak cari, bangunan sebesar alam mengadap deretan kedai-kedai di Seksyen 9 tu. Dalam sikit daripada Bason, dekat dengan sekolah.

Restoran Zam Zam Arabic Food

Alamat: Jalan Tengku Ampuan Zabedah G 9/G, Sesyen 9, Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: 10 am - 11 pm (setiap hari)

Website: zamzamcuisine.com

*Kedai ni dah tak ada (tutup) dah. Ahhh sedihhhh






Bye 2025, Hai 2026!

Syukur direzekikan jumpa lagi tahun baharu, Allah bagi peluang untuk jadi lebih baik dan baiki diri. Kredit: FB Introvert Hari pertama tahun...

Popular Post