22.6.15

Tips 'Panjangkan' Masa untuk Working At Home Mom



Sejak seminggu kebelakangan ni, saya dok terfikir macamana saya nak buat semua kerja yang harus saya selesaikan ni supaya sempat tiap-tiap hari. Memang tenggelam punca kejap nak buat itu, kejap nak buat ini.

Boleh katakan saya LOST.

Saya memang sangat perlu cara nak squeeze segala urusan kerja rumah termasuk urus anak-anak, urusan bisnes dan freelancing supaya seimbang tiap-tiap hari. Saya cuba atur sendiri tapi setiap kali itulah banyak tak berjaya daripada berjaya. Kadang-kadang letih juga, walaupun kerja dari rumah, jangan anggap wahm semua ni dok rumah makan tidur je ye. Trend wahm zaman sekarang, tak menang tangan macam-macam urusan kena buat. Urusan rumah tangga dan bisnes. Kalau silap perhitungan, lagi letih daripada yang kerja pejabat.

Allah dengar masalah saya, mungkin. Terlintas di newsfeed FB saya, ada orang share tentang Tips Panjangkan Masa Sehari. Memang excited sungguh la baca. Dan saya cuba praktik sehari dua ini.

Alhamdulillah. Rasa lebih tenang. Kerja lebih teratur. Cuma nak kena mantapkan dan kerja lebih pantas.

Disebabkan tips ini sangat berguna dan berkesan pada saya, saya nak kongsikan dengan semua yang membaca jika melalui masalah yang sama dengan saya.

Semoga bermanfaat. Saya kongsikan apa yang saya baca di ibusayaceo.com

Tips #1
Siapkan jadual untuk keesokan hari sebelum tidur.
Tulis dengan detail tugas esok. Jadual akan bantu kita bekerja lebih teratur dan tak serabut.

Tips #2
Berpagi-pagi dengan Al-Quran.
- Wajib amalkan membaca Al-Quran selepas solat Subuh.
- Jangan tidur selepas Subuh.

Tips #3
Solat sunat dhuha seawal pagi.
- Buat 4 rakaat jika mampu.
- 2 rakaat untuk sedekah kepada ruas tulang yang sudi menyokong gerak kerja kita, 2 rakaat lagi supaya Allah cukupkan keperluan dan yakin dengan rezeki Allah.
- Saya cuba buat dalam pukul 7.30 ke 8.00 pagi sebelum anak-anak bangun. Sebelum ni selalu terlepas dek menguruskan anak-anak.

Tips #4
Tunaikan permintaan anak dahulu.
- Bagi yang ada anak kecil, apa saja permintaan anak, turutkan dahulu. Niat dalam hati, ini tanggungjawab dan juga rezeki.
- Kita berada di rumah pun sebab nak jaga sendiri anak-anak. Jadi, selesaikan anak-anak dulu. Kalau tak, fokus kita akan terganggu dan kerja akan terbengkalai, kita pun stres.

Tips #5
Solat awal waktu
- Ini memang wajib diamalkan. Cuba dan rasa. Insya Allah memang kita akan terasa kita ada banyak masa padahal sama saja setiap hari 24 jam untuk semua orang.

Tips #6
Masak di awal waktu
- Bagi wahm yang memasak di rumah, mungkin boleh ikut cara puan ceo ni (saya ikut cara beliau).
- Masak 1 jam sehari sahaja sekali dengan kemas dapur dan basuh pinggan.
- Breakfast dan lunch untuk anak siap sebelum jam 7 am. Dinner siap sebelum Asar.
- Bersihkan dan potong siap2 bahan masak sejurus balik membeli. Jimat masa memasak.

Tips #7
Malam, tiada kerja rumah. Tidurkan anak kemudian sambung kerja. Puan ceo pelajar master, jadi dia buat kerja master waktu begini. Saya buat kerja freelance atau schedule kan blog dan fanpage. Cuma kalau terlalu penat, saya tidur dahulu. Bangun awal dan sambung kerja tertunggak.

Tips #8
Urusan bisnes di waktu pagi.
- Urusan macam packing, postage, check order, reply pm
- Hadkan guna FB waktu tertentu sahaja

Selesai 8 tips. Cuma saya tambah sikit tips yang saya dapat di FB melalui seorang peniaga online (saya terlupa namanya).

Tips tambahan:
Amalkan solat sunat sebelum Subuh. Selepas selesai solat, baca Surah Al-Balad 1x.
Teruskan dengan solat Subuh. Selesai salam, baca ayat 1-3 daripada Surah Al-Fath (doa mohon membuka apa yang tertutup). Boleh ulang baca 3x. Teruskan dengan istighfar dan doa macam biasa.

Saya baru buat 2-3 hari dan alhamdulillah kesannya memang saya rasa. Anda pun cubalah. Insya Allah, sebanyak mana kerja pun dipermudahkan.

Sumber: http://ibusayaceo.com 


15.6.15

12 Makanan Sahur yang Bantu Banyakkan Susu Badan


KHAS UNTUK IBU-IBU MENYUSU

Lagi 3 hari kita akan bertemu Ramadan lagi, insya Allah. Salah satu kerunsingan ibu menyusu ketika berpuasa adalah tak cukup susu atau kering susu di waktu siang (untuk ibu menyusu direct atau pam).

Sebenarnya, ibu menyusu masih boleh berpuasa, tapi kalau dah sampai tahap memudaratkan kesihatan ibu atau bayi, ibu dibolehkan tidak berpuasa. Tapi sebolehnya mesti kita nak juga berpuasa, kan?

Untuk bantu ibu kekal bertenaga dan cergas sepanjang hari berpuasa dan insya Allah dengan penghasilan susu badan yang maintain dan lancar, jom saya kongsikan makanan yang boleh bantu banyakkan susu badan yang boleh diambil ketika bersahur.

1. BUAH KURMA
Kurma memang terkenal sebagai makanan ibu menyusu selain sinonim dengan bulan Ramadan. Kurma dapat bantu beri tenaga dan juga merupakan makanan sunnah.

2. BUAH-BUAHAN SEGAR
Digalakkan memakan buah-buahan untuk tingkatkan kuantiti cecair dan menambahkan vitamin dalam badan, selain menyegarkan badan. Boleh dimakan begitu sahaja atau dibuat salad. Sediakan pada malam sebelumnya dan simpan dalam peti sejuk.

3. SMOOTHIE / JUS HIJAU
Makanan hijau meningkatkan kandungan lemak dalam susu badan. Sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam, kailan, wheat grass dan lain-lain boleh dibuat jus atau smoothie (jika anda menggemari rasanya). Alternatif lain adalah spirulina, kelp, barley grass, daun alfalfa dan herba yang sesuai dibuat sebagai minuman ketika bersahur.

4. TELUR REBUS
Telur rebus adalah sumber protein dan asid lemak omega-3. Penting dalam diet ibu untuk hasilkan susu yang berkualiti. Kalau rasa boring sangat makan sebiji macam tu, boleh la buat salad telur (uish sedapnya!) atau kari telur. Boleh cicah dengan roti atau nasi juga. Ataupun boleh buat sandwich telur.

5. OATMEAL
Oat memang makanan yang terkenal dalam kalangan ibu menyusu di AS sebagai makanan penambah susu badan. Boleh cuba buat OVERNIGHT OAT - oat direndam dalam susu / cecair pada waktu malam dan disimpan dalam peti sejuk semalaman dan dimakan pada esoknya. Lagi sedap ditambah kekacang atau buah-buahan kering. Atau boleh buat granola bar.

6. HUMMUS
Sejenis dip yang lazimnya dimakan dengan roti. Dibuat daripada kacang kuda, antara menu terkenal dalam hidangan Arab. Kacang kuda dicampur dengan tahini (sesame seed butter). Nak lagi sedap, tambah bawang putih bakar.

7. KELADI BAKAR
Keladi dibakar, ditabur gula perang dan mentega. Dimakan panas.

8. SUP LENTIL
Boleh sediakan seperiuk untuk beberapa hari. Tambahkan jintan untuk menambahkan susu. Kacang hijau atau kacang pool juga bagus untuk tambahkan susu badan.

9. BADAM MENTAH
Kekacang memang makanan sahur terbaik sebab tak perlu persediaan. Tinggal kunyah saja. Selain badam, kacang macadamia dan gajus pun bagus juga.

10. LEMPENG GANDUM PENUH
Adunan lempeng disediakan pada malam sebelumnya, jadi masa sahur dapat dijimatkan. Nak tambah flaxseed pun boleh (sumber omega-3).

11. MUFIN UBI BIT
Sayuran berwarna merah mempunyai kandungan beta karotena (yang perlu lebih semasa menyusu). Kalau tak ada ubi bit, guna carrot pun boleh.

12. AIR MASAK
Ini sudah pastilah. Ibu perlu air yang cukup untuk hasilkan susu. Jangan minum terlalu banyak semasa sahur. Minum sedikit demi sedikit selepas berbuka hingga sebelum tidur. Selang sejam atau dua jam pastikan ambil sebotol kecil (500 ml) air.

Semoga ibu menyusu semua diberi kesihatan yang baik di bulan puasa ini!


1.6.15

9 Tabiat Pagi Orang yang Berjaya



Berpagi-pagian mencari rezeki 

Orang yang berjaya dalam hidup mesti ada tabiat pagi yang dilakukan setiap hari untuk memastikan hidupnya terus berjaya.

Jom tengok apa tabiat yang orang berjaya lakukan setiap pagi untuk memastikan kelancaran sepanjang hari.

Tabiat #1 - Bangun Sangat Awal

Kita digalakkan bangun awal untuk buat solat tahajud, taubat dan lain-lain. Bila bangun awal, kita tak rushing sangat untuk kerja seterusnya. Beberapa bulan ni saya cuba bangun seawal 4.30 pagi, selewatnya 5.45 pagi. Alhamdulillah ada banyak perkara boleh siap sebelum anak-anak bangun. Cuba bangun 15 minit awal daripada waktu yang anda biasa bangun. Tambahkan lagi 15 minit awal untuk hari seterusnya. Amalkan selama 21 hari. Insya Allah.

Tabiat #2 - Membakar Kalori

Bersenam ringan atau buat apa-apa aktiviti fizikal. Boleh menyegarkan tubuh. Kalau yang suri rumah tu, boleh buat kerja rumah macam menyapu ke. Buat senaman ringkas pun boleh.

Tabiat #3 - Dengar Motivasi

Manfaatkan 30 minit untuk dengar motivasi atau perkara yang mampu buat anda bersemangat. Dengar zikir atau bacaan Al Quran pun bagus. Motivasi perlu diperbaharui setiap hari.

Tabiat #4 - Tulis Jurnal Kesyukuran

Perhatikan hidup anda dan tulis 1 perkara yang anda syukuri. Tak kisahlah walaupun perkara kecil. Dengan bersyukur, hidup lebih tenang dan anda akan tempuhi hari dengan lebih matang dan kurang stres.

Tabiat #5 - Jawab Soalan Ini Setiap Pagi

"Jika hari ini hari terakhirku, apa aku akan buat?"

Pasti kita akan buat sesuatu yang terbaik, ye tak. Kita tak tahu sama ada kita akan hadapi lagi hari esok, atau tidak. Kalau perlu berubah, berubahlah. Cuba sesuatu yang baru.

Tabiat #6 - Lakukan Tugas yang Paling Sukar Dahulu

Anda tentukan tugas anda, dan tahap kesukarannya. Buat yang susah dulu sampai siap kemudian teruskan tugas yang lain. Kalau tak anda dah kurang tenaga dan semangat nak lakukan bila menjelang petang.

Tabiat #7 - Rancang Strategi

Gunakan 10 minit untuk rancang dan visualkan matlamat anda hari ini, dan senaraikan tugas yang perlu disiapkan. Buat master checklist pun boleh. Waktu pagi sangat sesuai untuk biasakan diri dengan tabiat ini sebab kita lebih bertenaga dan fokus di waktu pagi.

Tabiat #8 - Meditasi

Bertenang. Baca Al Quran pun bagus. Tak perlu lama. Kalau dapat 2 muka surat pun ok.

Tabiat #9 - Peluk Anak-Anak

Bagi yang ada anak, boleh peluk anak. Masa ini kita masih tenang dan kurang stres. Kurang kebarangkalian nak marah-marah anak. Anak juga boleh menenangkan dan bagi mood ceria untuk anda teruskan hari anda. Peluk dan cium anak selepas bangun tidur.

Begitulah 9 tabiat yang boleh dilakukan sama seperti orang yang telah pun berjaya.

Tabiat yang baik perlu dilatih dan dibiasakan. Insya Allah.

Semoga kita semua dimurahkan rezeki berpagi-pagian hari ini!