29.7.25

Cara Ajar Anak Buat Mufin Mudah


Kalau nak ajak anak sama-sama ke dapur, rasanya yang baking baking macam ni paling mudah dan anak seronok kot.

Anak Akak beli 1 peket premix mufin brand Noraini's kat Eco, nak buatnya senang sangat.

Eloklah Akak pun hanya ada 1 oven toaster (kecik aje), so bolehlah anak belajar bakar mufin.




Cara akak ajar anak bakar mufin mini:

1. Panaskan oven toaster (suhu 170'C) selama 10 minit. Suruh anak pusingkan tombol suhu. 

2. Sediakan 1 mangkuk besar atau besen. Minta anak sukat minyak masak/butter cair dan gula (ikut sukatan pada paket premix tepung) - anak dapat belajar asas matematik

3. Ajar anak pecahkan telur di bekas lain (untuk check telur ok ke tak) kemudian masukkan dalam mangkuk yang ada minyak dan gula tadi.

4. Bagi anak senduk atau pemukul untuk gaul 3 bahan tadi sampai sebati. Anak belajar untuk kawal ramuan supaya tak tumpah keluar, belajar gaul semua bahan.

5. Minta anak masukkan tepung premix sikit demi sikit. Gaul lagi hingga sebati.

6. Sediakan loyang kecil, suruh anak alaskan loyang dengan mangkuk kertas. 

7. Suruh anak cedok 1 sudu kecil adunan dan masukkan dalam mangkuk kertas. Anak akan belajar kawal adunan supaya sesuai dengan mangkuk. 

8. Minta anak taburkan apa-apa topping yang dia suka. Chocolate rice ke, colourful rice ke, choc chip ke.

9. Masukkan dalam oven. Ajar anak guna pelapik atau sarung tangan semasa urus bahan panas.

10. Pusingkan tombol suhu ke 170'C selama 5-8 minit. Ini kena cuba jaya nak test suhu berapa yang tepat. 

11. Cara nak check, bagi anak lidi sate, suruh dia cucuk mufin yang dah siap bakar. Kalau lidi bersih dan licin, dah masak. Kalau melekit, adunan tak cukup masak dan perlu tambah masa.

12. Ulang sampai adunan habis.

13. Enjoy makan dengan anak-anak!

Selamat mencubaaaaa



Like dan Follow Facebook: Kak Zek

Sup Ayam Sihat

Apa yang best tentang sup?

Akak suka sup sebab boleh pelbagaikan rasa dan ramuan. Nak buat one-pot meal pun boleh, jimat masa dan tenaga. Seluruh keluarga boleh makan, yang anak hingga dewasa dan orang tua.

Sup mesra perut dan kaya khasiat melainkan pegi humban cili padi dan perasa banyak-banyak! Haha awasssss

*tapi Akak suka sup kedai tomyam yang pedas-pedas masam tu... tiberrrr



Sup ayam sihat macam ni memang kerap la Akak buat sebab senang kan.

Lately Akak tak tumis rempah 4 sekawan pun, cukup letak bunjut sup je. Kalau tak, Akak mesti letak untuk bagi wangi. Tapi kadang tu dia jadi pahit, agaknya terhangit kot.

Sup kali ni, masak je ayam dan sayur sekali, dah tak payah nak masak banyak-banyak menu.

Sup ayam sihat cara Akak:

1. Tumis bawang putih dan halia sampai naik bau. 
*Minyak sikit je. Nak sedap pakai minyak zaitun.*
2. Tumis bawang merah.
3. Masukkan batang sawi, kacau jap.
4. Masukkan air, ayam, carrot.
5. Biarkan mendidih. Kecilkan api. Masukkan daun sawi.
6. Tambah garam, lada sulah.
7. Siap untuk dihidang. Boleh tabur bawang goreng kalau suka.

Kadang Akak tumis, kadang Akak rebus dan tumis darat. Kadang letak macam-macam, kadang letak protein atau sayur saja. Yang penting, kalau nak sup sedap kena ada BAWANG PUTIH, HALIA dan LADA SULAH.

Itu kalau Akak lah.

Korang suka sup macam mana?


Like dan Follow Facebook: Kak Zek

Dobi Anak Asrama


Selain anak, mak ayah pun ada pengalaman baru jugak bila anak ke asrama.

Jadi sama-sama belajar, sama-sama adjust dan arrange banyak benda. Lagilah kalau ditempatkan kat kawasan yang kita tak biasa.

Awal dulu, sebab tak biasa, merata ceruk cari kedai dobi. Kadang tu memang penuh sebab pekan/bandar tu ada jugak boarding school lain jadi mak ayah semua pun sama je busy angkut baju busuk anak nak didobikan. Haha

Dobi pun kalau sabun wangi ke tak ke, mesin pun agak uzur ke janji boleh basuh, kering - on je lahhh


Masa minggu orientasi, dan sebulan dua pertama, anak memang agak struggle nak urus laundry sebab kebanyakan bukannya pandai lagi. 

Ada maktab/sekolah mesinnya pun bukan semua berfungsi baik atau belum ready untuk digunakan. Basuh tangan bolehlah tapi nak cari masa tu belum reti lagi.

Kalau parents yang dekat memang biasanya akan kerap visit. Tujuan utama memang mendobilah hehe

Parents boleh ajar anak dulu, lama-lama dia akan biasa. Pandailah dia uruskan laundry tu, kadang tu belajar daripada kawan. 

Ada yang basuh tiap kali mandi. Ada yang basuh waktu malam atau awal pagi. Ada maktab yang sediakan washer dan dryer. 

Maktab anak akak ada dua dua mesin cuma biasalah dah banyak tangan pakai, ada masa jahanam jugaklah. 

So pandailah dia basuh tangan dan sidai di ampaian. Surviving skills kan.

Apapun yang penting, parents kena tanya. Takut ada anak yang ambik mudah, baju busuk kepam gak berbasuh atau sabun tak sesuai. Nampak kecik tapi itu yang tentukan disiplin, peribadi dan kekemasan diri.






Like dan Follow Facebook: https://www.facebook.com/journeyofsomething23

28.7.25

Tahniah MRSM BP Cougars! Juara Super Schools Rugby 2025


Semalam telah berlangsung suatu kejohanan ragbi antara sekolah menengah elit di Malaysia.

Kiranya sekolah yang layak masuk ni memang hebatlah.

Sebelum ni, banyak juara dalam kalangan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), sebab culture ragbi ni memang dah lama di sekolah premier macam ni. 

Tapi lately MRSM pun dah mula aktif dan agresif join ragbi dan buat julung kalinya, tahun ni MRSM Balik Pulau jadi JUARA!

Mak tumpang bangga jap jadi parents students MRSM. Hehe

MRSM BP menentang Victoria Institution (VI) pada final di Putrajaya, Ahad lepas.

VI (VI Blues) adalah juara Super Schools Rugby sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 2017 dan 2023.

MRSM BP (MRSMBP Cougars) adalah MRSM pertama yang menjuarai SSR.

Juara bertahan, SEMASHUR (SM Sains Hulu Selangor) juara tahun lepas 2024 dan 2019.


Hebat gila weiiiiiii







Kita boleh kata menang atau kalah tipis. Beza 1 mata saja!

Tahun sebelum ni, paling sengit pun tahun 2017, beza 2 mata bila VI Blues menang dengan MCKK All Blacks (10-8).

Memang mendebarkan bethol!

Maktab anak Akak tayang live kat dewan. Syoklah depa dapat tengok walaupun dari jauh. 

Semangat dia nak main ragbi. Sebelum ni pun ada main tapi santai-santai je. Akak pun takdelah paksa tapi sangattttt menggalakkan.

Mana tau satu hari maktab dia dapat lepas MSSD ke kan. 

MRSM BP pun dah train banyak tahun dah nak sampai tahap ni. Bila coach atau DAWD bagi motivasi kat anak-anak ragbi tu, dengan kita sekali rasa semangat. Mungkin itu pun salah satu sebab depa boleh main all out, give all effort.

Apapun tahniah MRSM Cougars! Tahniah anak-anak MARA, semoga menjadi pembakar semangat untuk semua anak muda yang minat main ragbi.

Sebab MRSM juara, hari ni, MRSM seluruh negara dapat cuti free.

Bersorak anak Akak bila Akak inform dia on the phone kelmarin. 

"Esok cuti weyyyyyyyyy!!!" - Akak dengar dia jerit kat kawan kat belakang. Haha

Korang bab cuti seronok aje kannnnn




Like dan Follow Facebook Kak Zek untuk perkongsian berkenaan anak di MRSM.

27.7.25

Kenapa Tak Berjaya Tanam Pokok Terung dan Limau Kasturi?


Rumit ke tanam pokok limau kasturi ni?

Entahlah haha tapi Akak tak berjaya sangat, mudah sangat kena penyakit dan bunganya cepat gugur tak sempat membesar jadi buah yang boleh dituai.

Ini pun beli anak pokok, banyaknya hilang lepas tu, tak pastilah burung ke apa ke yang berkenan sangat. Huhu



Seronok tengok masa ni, cuma sayang tak sempat membesar dan dituai. Nak kena belajar lagi pasal penjagaan (pembajaan, penyakit). Pokok buah memang beza sikit banding herba daun... mudah ancaman serangga dan haiwan lain kalau tak silap Akak.




Ginilah keluar putik bunga tapi tak survive. Sedihhhh




Nanti boleh rujuk video nilah kalau nak cuba tanam semula limau kasturi ni. Satu lagi, daripada Dr Abas Mazni, pakar agroteknologi, kalau nak tanam limau, pilih limau yang elok dan cantik, ambil biji dan semai. Baru pokok yang tumbuh pun akan berkualiti lebih baik.

Yang berkulat-kulat kat kulit luar tu, tak elok. Elak ambil biji limau yang kulitnya tak cantik.




Excited betul masa tengok bunga terung ni muncul. Harapan tinggi nak tuai dan rasa terung sendiri tapi... gitulah takde rezeki. Tinggal harapan, kemudian tu gugur dah bunganya... huhu




Kegembiraan sementara hehe. Kena belajar banyak lagi pasal tanam terung ni. Husband suka makan dan terung pun harga sekarang boleh tahan juga.

Bila rasa nak kembali nak tanam terung semula, atau sesiapa yang rasa nak tanam juga, boleh semak artikel Kebun Bandar ni >> Panduan Menanam Terung dalam Pasu

Manalah tahu kali ni menjadi pulak kan.


Like dan Follow Facebook Kak Zek untuk lebih perkongsian tentang pengalaman berkebun.

Khasiat Daun Kari untuk Yang Ada Masalah Diabetes, Pencernaan dan Uban, Bagus untuk Wanita Hamil Juga

Korang panggil daun ni apa?

Daun kari ke daun karapole?

Akak membesar dengan karapole tapi sejak dok area Selatan ni jadilah daun kari. Hehe

Karapole tu sebutan orang Utara. Daun yang kita selaluuuu sangat jumpa. Dan bau dia sangatlaaaaaah sedap!

Rupa-rupanya selain sebagai penambah aroma dalam kari, daun kari juga sangat banyak khasiat yang mungkin sebahagian kita tak perasan.

Jadi yang menanam pokok kari tu, untung sangat tau.




Ni kenangan zaman dulu kala. Nak masak kari, ayam goreng berempah, Akak petik je dalam pasu sendiri kat Kebun Koridor.

Sekarang pun pokoknya ada lagi, masih tumbuh berdiri cuma banyak penyakit dan kurang zat sebab lama terabai. Daun-daun bertompok-tompok, warna keperangan entah penyakit apa.

Akak kurang motivasi nak berkebun lepas episod kucing melepaskan tinja dalam pasu... tapi tengok dia ni masih hidup, mungkin Akak akan jaga dia balik.

Ni gambar masa membesar sihat. Daun pun tak berhenti keluar. Wangi jeee

===============================================================


Okey, sedikit fakta tentang daun kari yang Akak petik daripada buku 202 Khasiat Herba ditulis oleh Sabda. S, terbitan Alaf 21. 


Nama saintifik: Murraya koenigii
Bunga: Warna putih berbentuk loceng
Buah: Bujur warna hijau, merah bila masak


Nak tengok gambar bunga dan buah pokok kari, klik blogpost Nur Hafizah Sharudin.
Akak pun first time tengok bunga dan buah pokok kari ni.


Khasiat dan cara menggunakan daun kari untuk mengatasi beberapa masalah kesihatan 

(Sumber: Blog Herba Tihara)


1. Dijadikan tonik untuk menguatkan perut, menguatkan keupayaannya serta mengatasi masalah penghadaman

2. Digunakan sebagai laksatif (julap) lemah untuk masalah sembelit

3. Mencegah uban, menghitamkan rambut

4. Merawat bengkak-bengkak dan lebam
Caranya: Pupukkan daun kari yang telah dilumatkan (dijadikan pes) pada bahagian yang bermasalah

5. Merawat sakit buah pinggang
Caranya: Perah air daripada akarnya kira-kira 3 sudu makan dan campurkan dengan 1 gelas air dan minum

6. Masalah loya dan pening akibat makan lemak berlebihan
Caranya: 1 sudu teh jus daun kari segar campur 1 sudu teh jus limau nipis , diminum

7. Penawar cirit-birit dan buasir
Caranya: 1 sudu teh jus daun kari campur madu, diminum

8. Mengurangkan masalah diabetes
Caranya: Minum air rebusan kulit batang pokok kari yang dikeringkan

9. Mengurangkan risiko diabetes akibat keturunan dan kegemukan
Caranya: Makan 10 helai daun pucuk muda setiap hari selama 3 bulan - dijadikan ulam

10. Merawat gigitan serangga dan haiwan berbisa
Caranya: Didihkan buah dengan minyak kelapa sampai kehitaman, hancurkan dan sapu tempat bermasalah

11. Dipatuk ular (rawatan awal sebelum ke hospital)
Caranya: Minum campuran daun kari dikisar dengan kunyit hidup dan garam

12. Tonik rambut (hitamkan rambut dan cegah uban)
Caranya: 1 sudu minyak kelapa campur 1 genggam daun kari, masak hingga hangus. Sapu pada rambut

13. Mengurangkan loya dan pening-pening pada wanita hamil
Caranya: Jus daun kari + 2 sudu teh jus limau nipis + 1 sudu teh gula, diminum

14. Melegakan sembelit
Caranya: Rendam daun kari dalam air panas. Campurkan madu dan diminum

Untungkan kalau ada pokok kari kat rumah? Nak guna bila-bila pun boleh, petik je.

*Info tambahan*
Kalau tak boleh tanam, tapi nakkan batang pokok kari, boleh cuba cari di Pasar Tani atau Pasar Pagi, ada penjual tawarkan daun sekali dengan batang. 



Like dan Follow: Facebook Kak Zek untuk lebih info tentang hobi berkebun dan pokok-pokok.

26.7.25

Projek Sains Tahun 6, Pengawetan Makanan (Mengawet Cili dan Ikan)

Throwback projek Abang Besar masa Tahun 6 dulu - tajuk Pengawetan Makanan. 

Cikgu Sainsnya minta awetkan cili dan ikan, jadi kami sama-sama pegi shopping cili dan ikan gelama.




Kaedah pengawetan pertama: Pengeringan

Akak letak je atas tray macam ni untuk dikeringkan. Kena jemur tengah panas, tapi masa ni musim hujan dan banyak mendung. Kalau ada matahari terik tu, baru bawak keluar jemur bagi cepat kering. Kaedah ni dah tentulah nak hasilkan cili kering.




Kaedah pengawetan kedua: Penjerukan

Hiris cili, masukkan dalam bekas yang boleh ditutup. Tambah cuka, gula dan garam, pastikan cili terendam. Hasilnya cili jeruk. Sedap makan kuetiau goreng hehe

Cuka 1 cawan kot (anggaran)
Garam 1 sudu 
Gula 2 sudu
Cili (kalau hijau lagi sedap) 2-3 batang


Kaedah pengawetan ketiga: Pembekuan

Isikan cili dalam plastik. Simpan dalam peti sejuk beku. 

Bagus juga kaedah ni. Cili tahan lebih lama, cuma kalau nak guna, untuk hiris-hiris dia mudah hancur melainkan dihiris masa beku. Kalau dah defrost dia cepat lembik. Blend oklah.


Rupa ikan gelama kering. Banyak hari juga nak dapat ni sebab cuaca tak menyebelahi sangat. Cabarannya masa awal-awal tu banyak lalat dan mengundang semut. Jadi kena pantau lebih sikit.

Ikan yang dah disiang, buang isi perut dan dibelah tengah tu dilumur dengan garam yang banyak atau direndam dalam air garam (Akak tak ingat cara yang anak guna). Lepas tu keringkan, balik-balikkan supaya kering kat dua-dua permukaan. 

Hasilnya sedap juga. Seronok dapat rasa ikan kering sendiri cuma itulah kalau musim panas terik memang berbaloilah ikan cepat kering. 

Alhamdulillah selesai tugasan ni. AB kata siapa hantar cikgu akan bagi TP6 hehe

Akak pun syok sebab hasilnya boleh dimakan dan dimasak. 



Like and Follow: Facebook Kak Zek untuk lebih banyak idea homeschooling anak!

Secret Recipe Tetap Pilihan Menu Western Sedap, Berbaloi dan Halal

Tak sangka bertahan selama berbelas tahun menu Secret Recipe yang satu ni. Menu lain pun ada juga yang SR kekalkan tapi yang paling nostalgic, banyak kenangan dan unik di SR, antaranya ini --

Pan-grilled Fish with Lobster Sauce.



Akak biasa order ni sejak zaman bujang lagi, time gaji sesekali pegi makan ngan kawan-kawan. Memang sejak dulu Akak suka sebab lobster sauce tu sedappppp!

Sekarang boleh add on sauce... kotlah tak cukup kan. Memang ya pun sebenarnya, kalau add on ni lagi puas hati makan. Hehe

Husband order chicken chop, oklah sodap juge.




Aglio olio seafood. Ada mussel, udang, shimeji mushroom, sotong, tomato ceri. Agak pedas, untuk dewasa boleh. Untuk anak-anak yang tak makan pedas, kurang sesuai. Ni pun Akak suka. Tak berminyak sangat dan seafoodnya tak overcooked.




Ni anak punya selera. Buttermilk pasta. Tak ingat sama ada salted egg ke tidak. Dengan ayam crispy. Ala menu fusion ni. Not bad juga gravy buttermilk tu. Tapi Akak kurang minat, Akak cepat rasa muak makan benda creamy cenggini.




Ni Akak saja snap gambo ambik ilham menu kot nak masak sendiri kat rumah. Hehe. Mackerel memang Akak suka. Biasa jugak beli mackerel yang frozen tu, bolehlah cuba tiru menu ni. Nasi goreng Thai dengan mackerel gril.




Variasi salad. Pun sama, ambik gambar buat inspirasi buat salad sendiri kat rumah. 




Ni macam menarik, anak-anak mesti suka ni sebab crunchy crunchy kan. Biasa kita guna breadcrumbs kan, boleh try cornflakes pulak.

Haa meleleh air liur tak? Silalah ke Secret Recipe yang terdekat. Hihi




Like dan Follow: Facebook Kak Zek untuk lagi tempat makan sedap dan best!

25.7.25

Menu Western Style Kampung, Ayam Goreng Crispy Panas-Panas di Pizza Dapur Fatisa, Puchong

Mula dengan gerai di food court, sekarang dah ada kedai sendiri!

Bermula dengan jual pizza kemudian dessert, sekarang dah ada banyak menu dah.

Pizza Dapur Fatisa ni, Akak dah biasa pegi sejak dia meniaga di Bistari Street lagi. Masa tu anak-anak balik mengaji, selalu jugak singgah sini nak makan pizza. 

Pizza dia jenis roti lembut, topping pun sedap. Anak-anak selalu pilih Pizza All Cheese, alhamdulillah puas hati makan, cheesenya banyak.

Lepas dah pindah keluar, kedai ni buka kedai di Kg Seri Aman, tak jauh pun dari tapak asal tu. Tapi kat kedai ni, Akak tak pernah singgah, sampailah dia pindah lagi sekali ke kedai yang lebih besar seberang jalan je daripada kedai sebelum tu.

Setakat ni dah 2 kali singgah, lepas anak balik sekolah, lunch kat sini.

Sekarang dah tambah menu, selain pizza, ada set western dan nasi. Nak kupi-kupi pun boleh. Kalau yang nak lepak-lepak, dessert pun ada.




Akak dengan husband yang tekak Melayu ni, order nasi ayam crispy dengan sambal penyet. Sambal dia boleh tahan, taklah berdesing sangat atau berminyak. Pedas pedas manjah je gitu. Akak suka portion nasi macam ni, cuma portion ayam je rasa macam tak cukup. Hehe dasar suka meratah lauk...



Ayam crispy dihidang panas-panas, ada sekali sup kosong dan daun salad.



Portion ayam crispy yang ni besor sikit. Hehe



Yang ni deep fried chicken chop. Ok je sedap cuma Akak tak suka sos cheese dan mayo drizzle atas ayam camtu. Kalau letak asing, lagi bagus. Fries agak sikit tapi oklah untuk Akak yang tak minat sangat fries. Inipun anak-anak yang 'curi' makan.




Tadaaaaa! Pizza All Cheese saiz regular kot ni. 6 slices. Doh dia lembut gebu gebas macam roti ban. Kena makan panas-panas baru sedap.



Yang ni grilled chicken chop. Dibagi sekali 2 batang sosej, fries dan salad simple. Pun sama, Akak prefer kalau sos mayo dan cheese tu diletak asing. Kalau letak tepi pun ok asalkan bukan kat atas ayam. Ayam gril dengan sos black pepper pun cukup rasa, lagi sedap rasanya kalau tak bercampur dengan sos-sos kat atas tu...



Nahhh burger ayam crispy siap pisau cucuk kat tengah lagi. Hati-hati kalau makan dengan anak-anak, takut dibawak bergurau pulak pisau tu. Ayam crispy dia sedap. Anak punya, sos apa pun tak nak. 



Antara menu yang ada. Ada lagi menu western lain. Lupa pulak nak ambik gambar menu sebelah.

Makanan semua okey, alhamdulillah sesuai untuk tekak orang Melayu yang nak makan western tapi tak over sangat, memang kena selera. Cuma tempoh nak serve makanan ambik masa sikit, mungkin sebab nak goreng ayam panas-panas dan fresh, jadi sabar jap menunggu ya.


Kalau nak cuba pizza dan menu western style kampung, support peniaga Muslim, boleh singgah:

Pizza Dapur Fatisa
144A-5, Jalan Berkat, Kampung Seri Aman, 47150 Puchong, Selangor
(Sebelah kedai Sri Aman Stationery dan Chai Guan Hardware)
Facebook: Dapur FATISA

Waktu operasi tak silap Akak, start jam 11 pagi sampai malam. Jadi boleh makan tengah hari, minum petang dan makan malam.

Like dan Follow: Facebook Kak Zek untuk lagi banyak tempat makan sedap dan best.

Diet Diabetes di Hospital, Boleh Ikut Portion Macam Ni

Kisahnya 3 minggu lepas, abah Akak jatuh terduduk dan patah tulang paha. Kenalah admit wad dan operate masukkan skru.

Sebab abah kencing manis, jadi menu yang dapat adalah ikut diet rendah kalori, kurang gula dan rendah kolesterol.



Senang kan makanan dipek macam ni. Lebih bersih dan mudah diurus.

Nasi beras perang 1 cup
Sup ayam
Pakchoi tumis air
Tempe goreng dengan sayur
Buah tembikai susu

Complete meal, kan?

Patutnya kita pun makan macam tu. Kurang karbo (secukupnya saja), lebih protein dan fiber. 

Dibagi juga 1 botol kecik air mineral Spritzer (250 ml), sudu, garpu plastik, tisu.

Ni kat Hospital Putrajaya. Makanan dibagi on time, lunch dalam jam 12 lebih dah sampai. Nanti dia datang collect tray je. Kalau makan tak habis, boleh simpan sendiri.


Ni pulak ada:

Nasi perang 1 cup
Ikan dori sweet sour/tomato
Lobak putih dan carrot masak bening
Tempe goreng dgn sayur
Buah epal merah

Tapi buah selalunya abah tak makan pun, lagi-lagi kalau epal. Keras, giginya bukan kuat sangat nak mengunyah.



Alhamdulillah, operation dah selesai. Dah discaj dan balik rumah. Kena dressing luka operation selang sehari dan buat fisio. 

Syukur juga admit di HPj. Senang dan selesa. Staf-staf semua baik alhamdulillah. 

Kafetaria banyak makanan sedap, kedai runcit ada 2 untuk beli barang keperluan. Cuma farmasi aje tutup untuk renovation katanya.

Doakan abah Akak cepat sihat ya.


Like dan Follow: Facebook Kak Zek

23.7.25

Almost is No Fun


Lebih 5 bulan dah sejak Abang Besar (AB) mendaftar kat MRSM. Dah lepas dah Exam Semester 1, baru dapat result.

Alkisahnya, dia kurang puas hati result ni, yang katanya sipi-sipi je lagi nak layak Anugerah Penghormatan Pengetua (APP). 

Almost is no fun. Betui sangat sebab lagi sikit je nak dapat tapi pada dasarnya tak dapat. Huhuuuu

Down dah member. Mak yang jauh ni pun mampu nak layan kesedihan dia on the phone jelah. Itupun pinjam phone kawan, charger phone dia hilang. Huhu

Begitulah kan.

Kita rasa kita dah usaha sehabis usaha dah, tapi kenapa hasil tak menyebelahi kita.

Masa tu, datanglah rasa jealous kat kawan-kawan yang nampak tak berusaha sangat pun tapi skor, kawan-kawan yang study biasa biasa je tapi result power - lumrah kita nak rasa down sebab kita dah usaha tapi result tak seperti yang kita dah harapkan.

Menjadi pelajar yang average, Akak sebenarnya dah cukup bangga dengan result yang dia dapat tu. Pada Akak, bagus sangat dah memandangkan dia memang bukanlah yang top scorer kat sekolah tapi usaha tu ada. 

Cuma, dia dah target APP, ramai pulak kawan-kawan dia dapat APP, sedikit sebanyak emosi dia terkesan juga.

Udah lain macam suara dia bercakap kat phone, Mak kat sini pun jenuh nak menahan emosi juga tapi pada masa sama tetap bagi dia semangat jangan putus harapan, ni baru permulaan.

Baru nak bertapak, baru nak cari rentak.

Pesan juga kat dia - ni semua part of life. Ada masa kita kecewa, ada masa kita rasa tak adil, ada masa kita rasa menyesal. Itulah hidup.

Yang penting, tindakan kita seterusnya tu. Nak terus terbawa-bawa kesedihan ke, nak move on ke, nak improve ke. 

Akak yakin AB boleh bangkit semula dan terus konsisten study. Memang akan down beberapa hari tapi dia  pun kena belajar, yang hidup tu tak seperti yang kita nak saja. 

Allah akan bagi ujian, kekecewaan, dugaan supaya kita tak lalai dan terus usaha lagi.

Mudah-mudahan ada jalan dia dapat up markah kalau buat semakan kertas, tapi itu terserah cikgu jugalah kalau ada yang boleh dibantu dan boleh dibaiki. 

Kalau tak, Mak suruh dia pasrah je. Come back stronger in next exam setara dan exam semester 2.



Like dan Follow Facebook: https://www.facebook.com/journeyofsomething23

17.6.25

Berapa Banyak Protein yang Diperlukan oleh Badan dalam Sehari?


Doktor pernah nasihatkan Akak, masa sarapan, kurangkan karbo, lebihkan protein dan sayur.

Kita ni yang dah terbiasa nasi lemaklah, nasi kerabulah, nasi gorenglah -- nak tukar rutin tu terkial-kial juga sebab tak biasa kan. Tapi, untuk kesihatan terpaksalah akur. Nak sihat, makan kena jaga. Lagilah dah kena darah tinggi ni, tak bolehlah nak makan sebarangan ikut suka sangat.

Akak search menu-menu sarapan yang high protein dan berapa banyak protein kita perlu sehari sebenarnya, supaya mudah Akak nak plan menu.

Terbaca post coach Qurus Rangers, setiap kali makan perlu ambil 20-30 g protein, dalam sehari kita perlu dalam 100 g.

Karbo taklah kena tinggal terus, tetap diambik tapi dalam portion yang terkawal untuk bekalan tenaga. Protein yang kena pastikan cukup.


Kredit foto: Ziana Che Saad (Cookpad)


Daripada post Kevin Zahri pulak, dia kongsikan macamana rupa satu hidangan 20 g protein tu, maksudnya sekali makan berapa banyak. Ni ha panduannya.




Protein yang agak mudah (lagi-lagi untuk sarapan, mestilah telur). Kalau tauhu tu, Akak dok terbayang dah tauhu sumbat -- protein dari tauhu dan serat dari timun, carrot, tauge macam kat gambar atas tu. Boleh makan cecah sos (sikit jelah) atau kuah kacang. Ideal untuk sarapan sihat.



Berdasarkan  panduan ni, Akak terfikir beberapa menu yang ringkas tapi sedap.

1. Tauhu sumbat 2 ketul (filing tauge, carrot, timun, sengkuang) + 2 sudu sos cili/kuah kacang
2. Salad ayam atau udang (isi ayam/udang panggang + daun salad + tomato ceri + hirisan carrot/timun) + 1 sudu mayonis Kewpie merah
3. Tempe goreng (1/2 cawan) + 5 ekor udang, goreng dengan bawang, cili hiris, kacang buncis/kacang panjang
4. Omelet (4 biji telur + capsicum + tomato + bawang + sikit susu)
5. Tauhu goreng/bakar 1 ketul + tempe goreng/bakar 1/2 cawan + kangkung celur + kuah kacang
6. Telur dadar udang (2 biji telur + 5 ekor udang + bawang + cili) + timun
7. Masak bening bayam tempe (Tempe 1/2 cawan + tauhu 1 ketul + bayam 1 cawan)
8. Salad kubis bilis (Kubis 1 cawan + udang rebus 5 ekor + bilis goreng 1/4 cawan + bawang + cili)
9. Sup ayam (1/2 saiz tapak tangan dada ayam + 2 biji telur + 1 cawan sawi)
10. Ikan kembung bakar pedas/stim halia/bakar garam kunyit/goreng + sambal/air asam

Bolehlah cuba.


Like dan Follow Facebook Kak Zek

Putra Heights Pasca Letupan

Selepas jalan dalam Kampung Tengah dibuka untuk laluan umum, barulah Akak nampak secara dekat keadaan terkini rumah di sekitar kawasan letupan gas tu di Putra Heights.

Orang kampung situ kata ni dah ok, berbanding masa baru kena, lagi seram dan menakutkan dengan pokok habis kering, rumah rosak memang betullah macam padang jarak padang tekukur.

Macam dalam filem pun ada. Sunyi.




Antara rumah yang terjejas teruk. Ini memang betul-betul sebelah perumahan Putra Heights, sebelah tembok je. Memang total loss seperti yang dilaporkan berita. Ni dari tepi jalan je la. Pokok tu pun habis kering.




Lokasi kejadian kat seberang sana tu. Yang deretan bangunan putih tu la lokasi kejadiannya.





Tepi jalan kat kampung ni memang banyak pokok. Pokok pisang antara pokok yang banyak orang kampung ni tanam. Ni pun ambik masa nak hidup balik. Akak ambik gambar ni dari dalam kereta je, sambil lalu. Ni lepas 2 bulan lepas letupan. Pokok-pokok baru nak hijau balik.

Masa mula-mula lalu tu, memang tak terbayang waktu letupan. Udahlah kitorang selalu guna jalan tu, pegi sarapan, hantar kereta kat bengkel kereta dekat situ jugak... memang kesian orang kampung yang terkesan. Teruk habis rosak rumahnya. Tengok pun sedih.

Semoga mereka mendapat keadilan dan pampasan yang sepatutnya untuk mula hidup baru. Kejadian ni betul-betul mengajar kita yang apa saja yang Allah bagi boleh hilang sekelip mata. Besar ujian untuk hadap tapi kita harapkan semua tu ada hikmahnya untuk kita teruskan hidup dan yakin Allah sentiasa ada.


Idea Menu Suku Suku Separuh

Idea menu suku suku separuh. 

Akak kena keluarkan pinggan sakti ni baru sedar diri. Haha

Ini lauk tapau. Nasi 1/2 bungkus je. Timun jadi lebih sebab diorang kat rumah semua pandang ekor mata je, Akak angkut semua la timun.

Nasi 1 senduk, ikan mabong bakar dengan sambal belacan, ulam timun.


Yang ni pulak: 

Nasi 1 senduk, sambal hitam kawan jual, ikan kerisi stim, brokoli stim.

Ikan tu senang je buat. Cencang kasar bebawang, halia, kunyit hidup, lada hitam. Lumur kat ikan, tambah garam secubit. Bungkus dengan aluminium foil. Akak masak dalam air fryer je 200c, 8/5 mins. Kalau nak efek bakar, tak payah bungkus foil. 

Menu ni orang pantang pun boleh makan.


Telur rebus 3 biji, sayur campur frozen gaul dengan Kewpie mayo merah sikit, lada hitam sikit. Teh O kosong.


Roti wholemeal bakar, almond spread, hirisan pisang. Takleh makan selalu ni. Sekali sekala jelah.


Nasi 1 senduk, sambal sotong, ikan tenggiri air fried, ulam timun.


Makanlah apa yang kita suka. Tapi kena ikut portion dan ikut time. Kurangkan karbo, tambah protein dan sayur/buah.

Haih, cakap senang. Nak buat tu... kena bertabah sikit hehe



Like dan Follow Facebook Kak Zek

12.1.25

Kenangan Kangkung

Dua, tiga tahun lepas Akak rajin juga berkebun. Masa tu tengah rajin dan pokok pun banyak menjadi, alhamdulillah. 

Merasa jugalah hasil kebun koridor sendiri - daun kari, daun limau purut, selasih, cili.

Paling seronok tanam kangkung, sebab sayur feveret hehe


Semai guna keratan batang je. Lama jugak nak dapat gini. Akak noob haha


Kurus-kurus daun tirus je ni ha. Jadilah buat ghaso ghaso



Kangkung pun sekarang, boleh tahan juga harganya. Bukan sayur ekonomi dah sekarang ni. Kadang seikat pun dah 3-4 ringgit.

Tapi itulah, kebun koridor Akak dah lama berkubur, sebab hilang semangat lepas pasu-pasu dicemari tinja haiwan peliharaan jiran :(

Habis mati pokok. Tanah pun jadi tak elok dah. Buang je semua. Sedihhhhh

Nak dapat balik rentak berkebun tu, lambat sikitlah. Tapi insya-Allah Akak cuba lagi sebab seronok tengok pokok-pokok ni (kalau dia tumbuh eloklah) hehe

Dalam kenangan jelah kangkung ni ha. Sempatlah harvest sekali, kangkung pun comey je, jadilah :D

Sesi Fisioterapi di URTC (USIM-PNB Rehabilitation & Therapy Centre), Nilai, Negeri Sembilan

Akak dok lenguh-lenguh lengan dan kaki, kadang-kadang tu ada rasa semut-semut dan tak selesa. Nak pergi berurut tapi nak cuba fisio dululah takut ada underlying problems ke apa ke.




Buat appointment kat URTC, alhamdulillah ada slot kosong masa yang Akak nak pergi tu.

Pusat fisio USIM ni baru lagi buka. Katanya start bulan 9, dan fully operate bulan 12 hari tu. Setakat ni hanya ada sorang therapist dan sorang physiotherapist (sorang lelaki/sorang perempuan kalau tak salah). Akak saja cuba sebab biasa bawa mak follow up check up klinik pakar sini.

Lega dapat tahu apa benda masalahnya walaupun sengal-sengal tu masih rasa lagi dek kena urut kat tempat yang memang sakit kan. Urat bersimpul, saraf tersepit katanya. Itu yang menjalar-jalar ke bahagian badan yang berdekatan dan rasa cepat lenguh dan berat.

Kalau nak menulis atau menaip lama, lagilah kalau masak (goreng bihun/nasi) mak ai lenguh gila lepas tu. Ni lepas fisio, lega sikit cuma kat part kena tekan tu masih rasa lagilah senaknya :D

1 sesi dalam 45 min - 1 jam. Lepas dah selesai, physioteraphist Sara (yang attend Akak) ajar few stretching workouts untuk improve otot yang keras tu. 

Sebenarnya Akak ni kurang stretching, jadi otot dan saraf agak keras (stiff) dan kurang fleksibel. Itu yang salah gerak sikit mulalah sengal, terpeleot dan sakit.

Dia nasihatkan buat stretching kerap sikit untuk tambah muscle flexibility.

Hari tu lepas dah urut, Sara buat ultrasound therapy sekali untuk kurangkan inflammation. Kalau nak buat dry needling pun ada. Method lain pun ada, depend on kita punya condition.

Kat sini, kalau nak buat terapi lain pun boleh. Dan ada pakej jugak, 3 sesi, 6 sesi dan 10 sesi kot (Akak tak ingat). Pilih pakej, harga rawatan untuk 1 sesi jadi murah sikit lah.

Occupational therapy, speech, auditory services - boleh set appointment je.


Untuk fisioterapi, ada servis-servis ni jugak. 
  • Musculoskeletal
  • Neurology
  • Sports Injury
  • Electrotherapy
  • Women's Health
  • Dry Needling
  • Post-operation
  • Cardiac Rehab
Kalau nak cuba mana-mana servis, boleh je ke pusat terapi ni:

USIM-PNB Rehabilitation & Therapy Centre (URTC)
Lot 190, Jalan Nilai Square 5,
Nilai Square Commercial Centre,
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Waktu operasi: 
Isnin-Jumaat (8.30 am - 5.30 pm)
Sabtu (by appointment)

Instagram : @urtcofficial
TikTok: @usimhealthcare