30.8.15

Review Makan: Zaky's Pizza


Jumaat lepas alhamdulillah berkesempatan dinner kat Zaky's Pizza di Jalan Kebun, Shah Alam.

Sebenarnya dah lama dah plan tapi tak tersinggah. Akhirnya sampai juga. Sesekali bawak anak makan luar.

Lokasi kedai di Jalan Kebun, dekat dengan Econsave Jalan Kebun dan perumahan Kemuning Greenville, Mahkota Kemuning dan D'Pinggiran Kemuning. Deretan kedai baru kat situ. Jalan Tanjung Rhu.

Pertama kali datang dan masa tu customer tak ramai sangat. Jadi selesa lah untuk kami anak-beranak.

Kami order:
Pizza Chicken Sensation 8"
Meatballs + Wedges
Spaghetti
Beef Lasagna
Roti sosej
Pot Ice Cream
Milo Ais
Hot Chocolate

Ada pelbagai set tapi saya tak ingat kami ambik set mana. Tapi yang di atas nilah kami makan.

Menu-menunya not bad. Makanan barat yang bercitarasa tempatan saya boleh simpulkan. Rasa macam makan kat rumah (home made). Jadi kalau teringin nak makan makanan barat tapi malas nak masak, boleh la bertandang ke sini. Oh perkhidmatan delivery pun ada.

Untuk pizza, ada banyak variasi topping boleh pilih nak mana satu. Ayam, tuna, seafood. Doh pizza tersangatlah lembut dan gebunya. Kenyal macam gitu. Bukan macam crusted pizza. Ini tak rapuh tapi lembut macam roti bun. Kalau tak boleh bayangkan, datanglah kedai sendiri dan cuba yer!

Menu baru - meatballs dengan sos black pepper. Sedap. Patut cuba.

Roti sosej, menu kanak-kanak tapi anak saya taknak. Saya yang makan. Sedap juga. Sosej digulung dengan roti dilapis cheese dan digoreng.

Ada pot ice cream juga bagi yang sukakan aiskrim pasu.

Spagheti, dengan kuah bolognaise daging. Anak saya yang beria makan.

Beef lasagna suami saya paling suka. Comel lote aje bekasnya tapi sedap.

Keseluruhannya anda patut cuba. Boleh makan makanan barat dengan harga mampu milik. Yang kami beria makan tadi semua tu jumlah dalam RM60+ sahaja. Siap tak habis tapau untuk sarapan esok hehe.

Kalau nak minta hantar pun boleh. Mereka ada khidmat penghantaran percuma selama 2 bulan untuk kawasan lingkungan 5 km dari kedai. Penghantaran 2 kali sehari untuk lunch dan dinner dengan beberapa jenis set yang anda boleh pilih.

Ingin mencuba atau kenali Zaky's Pizza dengan lebih dekat, boleh Like mereka di FB Zaky's Pizza.

Selamat mencuba!

*Update: Kedai ni dah tak beroperasi.

28.8.15

Nasi Arab Mudah Masak



Minggu lepas, husband dan kawan-kawannya ada majlis makan-makan. Saje together gather.

Husband dah ditugaskan untuk siapkan main course, maka bertungkus-lumus jugaklah kami husband and wife siapkan makanan untuk 50 orang. Menu - Nasi Arab.

Tak pernah pun masak untuk orang makan seramai ni. Selalu masak runcit-runcit je jamu family dan kawan-kawan. Ni agak mencabar jugaklah kan. Tapi husband memang confident. Dia memang biasa masak kalau masa program company beliau... program camping ke, bbq ke. Dialah masterchefnye. Hehe

Nak masak nasi arab ni insya Allah ok. Sebab guna rempah segera. Beras pun dah ada siap. So tak payah nak risau tentang rasa. Insya Allah sedap!

Kami masak guna rempah Nasi Arab Al Bayt je senang. Dalam 10 kotak jugaklah sebab 50 orang kan. Sekotak anggaran 4-5 orang makan. Beras dah bagi, rempah semua pun dah ada dalam.

Maka bekerjasama lah husband dan wife siapkan menu. Husband tolong potong timun, tomato, bawang-bawang. Then siapkan salad arab siap-siap simpan dalam peti ais. Saya basuh ayam dan rebus. Sambil-sambil kejap entertain anak nak menyusu.

Seperiuk besar rebus ayam. Ikut resipi tak payah rebus, panggang je. Tapi kitorang nak jimat masa panggang...maklumlah ada 1 je oven tu pun pinjam mak mertua punya. Dan ada 1 microwave. Congak-congak lama sangat kalau nak panggang. Jadi kami rebus dulu ayam, panggang jugak lepas tu tapi tak lama sangat sebab ayam dah masak. Dan air rebusan guna buat sup, hidangan tepi (side dish). Resipi asal takde pun. Saja kitorang tambah buat kuah.

Nasi arab ni set dia: Nasi, ayam panggang, salad arab, sos harrah.

Orang melayu punya tekak mesti nak ada kuah. Hehe. Lauk berkuah yang sesuai macam sup ke dalca ke. Ok la tu.

Alhamdulillah mak abah ada periuk besar-besar, tumpang pinjam. Masak nasi pun senang je pakai tu. Sekejap aje dah siap :)

Syukur juga semua sempat siap, walaupun biasalah dengan selingan anak-anak. Kejap nak itu nak ini, nak tengok tu, nak nenen. Gilir-gilir la kitorang buat keje. Hehe.

Husband kata habis licin ada siap tapau. Alhamdulillah seronok dapat jamu orang makan.

Nasi arab ni senang je nak buatnya. Sukatannya semua dah bagi. Sedap pun sedap!



26.8.15

Sebab Ibu Bekerja yang Menyusu Perlu Makan Multivitamin


Jadi ibu yang bekerja dan menyusu tak dinafikan memang menuntut tenaga dan kekuatan yang tinggi. Nampak macam mudah kan menyusu ni tapi ibu menyusu sajalah yang faham keadaan yang cepat lapar, mengantuk lepas menyusu, susu perahan tak cukup atau terlalu letih dengan urusan kerja, rumah dan anak.

Tapi biasalah ibu-ibu ni selalu ada kuasa super. Hehe. Semua benda boleh buat padahal dalam hati kata tak larat.

Dua orang kawan saya amalkan vitamin  sejak mengandung hingga menyusu mengaku yang sangat penting ambil multivitamin. Selalunya bila dah balik kerja dah letih tapi banyak lagi urusan yang perlu diselesaikan. Kalau anak sorang pun penat, bayangkan kalau anak lebih ramai. Habis urusan kerja, balik untuk urus rumah pulak. Banyak tenaga kena guna. Dan dengan umur yang makin bertambah, kudrat pun selalunya makin kurang. Kadang tu bila dah letih sangat, makan pun tak berapa selera.

Yang sorang ni, memang ambik multivitamin. Katanya bila makan multivitamin ni, bila balik kerja masih bertenaga nak urus baby yang baru 5 bulan. Dan masih menyusu badan.  Kalau tak cukup vitamin penting ni, tambah pulak pemakanan pun tak cukup, manalah nak datang tenaga ye tak.

Yang sorang lagi, baru nak cuba multivitamin ni.  Dia sebelum ni memang regular ambik tablet kalsium-magnesium Ostematrix, lepas tu top up dengan Vitamin C dan B Complex. Memang katanya beza kalau ambil dan tak ambil vitamin. Saya sendiri pun setuju. Lemau sangat menjelang petang kalau terskip vitamin pagi tu.

Kalau anda pun kategori ibu bekerja yang menyusu yang sering rasa penat, stres, asyik nak marah, terlalu letih dan tidak ambil apa-apa vitamin, sangat baik mula amalkan daripada sekarang. Kita nak jaga keluarga, kita kena pastikan kita sihat dan badan nak pakai lama, nak tengok anak membesar insya Allah jika dipanjangkan umur. Tak salah berusaha untuk dapat kesihatan yang lebih baik. Malahan kita dituntut menjaga tubuh badan kita sebaik mungkin.

Wallahua'lam.



25.8.15

Sambal Belacan Mak Mertua

Sambal belacan memang banyak versi. Saya ni kan belajar masak ikut buku, ikut Google. Jadinya banyak resipi sambal belacan saya cuba tapi satu pun tak kena selera suami saya.

Yelah, sambal belacan mak tersedap mana ada dalam buku atau Google! Kena belajar dengan mak mertua lah. Hehe.

Dan saya selama ni alergik makan belacan, maka memang tak pernah la nak belajar buat sambal belacan. Kesian incik suami. Sekarang ni alhamdulillah dah kurang alergik, makan belacan pun takde nak gatal-gatal sangat, tu yang berani masak semua nak letak belacan. Tapi apa pun tetap kena sederhana. Banyak sangat tak boleh la. Hehe.

Sebab tak sempat nak tanya mak mertua, kita tanya resipi kat anak mak mertua je lah. Rupanya dia tahu! Hmmm. Sabar je lah.

Ni saya kongsikan resipi sambal belacan versi mak mertua saya. Nanti balik kampung kalau ada tambahan tips saya akan update. Ini versi anak mak mertua yakni suami saya.

Sambal Belacan Cik Zah

Bahan:

5-6 biji cili merah
10-15 biji cili padi
1 sudu besar belacan bakar
Jus limau kasturi/lemon
Garam dan gula
Sos tiram <-- ni bahan rahsianya!

Cara:
1. Potong kasar cili merah, masukkan dalam blender. Masukkan cili padi dengan tangkai sekali.
2. Masukkan belacan.
3. Masukkan air sikit.
4. Blend sampai dapat kehalusan yang diingini.
5. Tuang dalam mangkuk/bekas, masukkan jus limau dan sos tiram. Agak-agaklah ye rasa masin dan masamnya. Kacau sebati.
6. Perasakan dengan garam (kalau perlu) dan gula.
7. Siap. Simpan dalam bekas bertutup dan dalam peti sejuk.

Saya suka guna Belacan Bakar DNB ni sebab bersih dan rasa pun sedap. Mai Pulau Aman habaq hang. Hehe.

Rasa sambal ni saya perlu improve lagi. Dia punya kepekatan pun belum sama macam mak mertua selalu buat. Dan saya guna lemon sebab limau tak ada.

Selamat mencuba lah pada yang sudi nak mencuba.

Apa pun, practice make perfect!

Ngam sangat la standby sambal belacan kat rumah ni. Timun penuh bakul ni haa terlebih beli untuk buat salad nasik arab hari tu. Matching sangat timun-sambal belacan-kari ikan-ikan goreng menu hari ni. Nyummmmmmyyy!

24.8.15

Menu Mudah Suri Bekerja Di Rumah


Sekarang ni, by hook or by crook, memang memasak kat rumah. Tak kisahlah lauk apa pun. Tapi semua pun mudah-mudah je.

Sebab saya mak yang kerja dari rumah, jadinya hari-hari mesti la saya masak. Untuk anak makan, suami makan bila balik kerja. Saya pun kena makan jugak nak menyusu bagi anak baby 'makan'.

Dan saya memang suka masak. Tapi tidaklah terer mana, husband saya lagi terer.

Ni menu semalam. Mencabar sikit sebab menu tak pernah cuba. Ni cedok dari buku. Tak menjadi sangat. Mana taknya, siap satu lauk anak bujang dah mengadu lapar. Berhenti makan dulu. Sambung 1 lauk lagi lepas tu adiknya pula merengek nak tido. Dugaannnnn...

Menu of the day:
Sotong Berlada
Singgang Ikan Tenggiri
Salad Saderi
Ikan Tenggiri Goreng

Komen suami, sotong terlebih masam. Huhu. Singgang tu takde pulak komen apa tapi saya rasa macam tak cukup serai. Salad pulak macam terkurang masam kot. Haha macam-macam. Gitu la bila masak-masak kan. Setiap kali itu la kita belajar benda baru.

Tapi anak bujang makan bertambah-tambah. Lauk berkuah dia memang makan laju.

Saya nak share menu Salad Saderi sebab saya rasa menu ni jarang kita jumpa. Yang lain tu masing-masing dah pandai kan. Hehe.

SALAD SADERI

Bahan:
2-3 batang saderi (parut kulit luar sbb yang tu selalu keras, hiris serong)
7-8 biji cili padi (hiris halus)
1/2 biji lemon (kulit dihiris nipis, jus lemon diperah)
1/2 labu bawang besar (hiris)
1-2 batang serai (hiris halus)
1/2 genggam ikan bilis (digoreng garing)
Garam dan gula secukup rasa

Cara:
1. Gaulkan saderi dengan kulit lemon.
2. Masukkan cili padi, bawang besar, serai, jus lemon. Gaul rata.
3. Masukkan ikan bilis goreng. Gaul lagi.
4. Perasakan garam dan gula.
5. Siap. Makan segera atau simpan dalam peti sejuk.

Cubalah!

Begitulah menu semalam. Hari ni kita masak menu buku lain pulak ye.

___________________________


19.8.15

Kenangan dengan Nurse di Hospital Klang


Semalam, terbaca satu luahan panjang seorang jururawat berkenaan komen-komen pesakit dan waris yang viral kat media sosial. Yang kutuk kerja nurse. Apa yang dia kata tu, tak perlulah saya mention kat sini kot. Tapi memang amat memalukan dan menunjukkan betapa rendahnya mentaliti sebahagian kita ni terhadap para nurse.

Kalau saya jadi nurse pun, memang akan terguris tercalar bila dituduh dan diperkatakan begitu.

Selama hidup saya ni, saya kira saya banyak juga berjumpa dan berurusan dengan nurse. Dengan mak ayah yang bersilih ganti masuk keluar hospital suatu ketika dulu,  saya dah berjumpa macam-macam jenis nurse dan doktor juga. Dan bila saya check up mengandung dan bersalin, saya sendiri pun banyak jumpa nurse.

Ya, kalau Hospital Klang tu, memang tak ada la orang nak pegi beranak kat situ kalau memikirkan segala momokan orang - wad penuh, tak selesa, nurse mulut jahat dan tak friendly dan apa-apa lagi komen yang tak membina dan mematikan semangat nak beranak dengan tenang. Tapi, saya masih memilih Hospital Klang sebab waktu bersalin anak pertama, saya banyak masalah.

Saya ada diabetes, darah tinggi, uri di bawah, baby songsang. Jadi saya DINASIHATKAN supaya bersalin di hospital. Dan hospital terhampir waktu tu memang Hospital Klang. Saya dok di Bandar Botanic waktu tu.

Kali kedua, alhamdulillah tak banyak masalah sangat. Darah tinggi takde. Baby pun dalam kedudukan baik, uri pun naik sikit (sebelumnya uri di bawah). Cuma diabetes masih ada tapi terkawal. Itu pun saya masih ke Hospital Klang sebab tunggu Hospital Shah Alam tak buka-buka! Hehe.

Sepanjang saya check up, jumpa pakar, di wad dan dalam bilik bersalin hingga selepas bersalin, alhamdulillah semua nurse yang entertain saya baik-baik belaka. Dan nurse pun muda-muda je dari saya nampaknya. Peramah! Lagi kalau masa check CTG, nurse rajin bersembang sambil -sambil cari mana jantung anak. Nak mintak tolong apa pun ok je. Tapi agak-agak dan pandai kita lah kan. Sebanyak mana pun nurse kat wad tu kalut memanjang punya banyak kerja mereka. Jadi setakat sikit-sikit yang kita mampu, buatlah sendiri.

Macam luahan nurse tu lah, bukan kerja nurse pun kadang yang kita mintak tolong tu. Diorang buat sebab simpati. So hargailah sikit ye.

Bukanlah nak payung nurse sangat tapi kes saya, alhamdulillah dua kali saya bersalin di situ, kedua-dua kalinya pun ditemukan dengan nurse yang baik-baik. Saya percaya jika kita bersikap baik dengan orang insya Allah begitu juga orang lain dengan kita. Cuma kali kedua tak lama sangat kat wad. Takde komen sangat lah. Nurse kat PAC tu je yang macam garang sikit. Tapi so far ok.

Hormati pekerjaan orang lain. Mereka bekerja mencari rezeki. Macam kita juga.

#nurseosem


18.8.15

Apabila Diserang Gegata atau Kelopak Garam


Minggu lepas, husband diserang gegata ni. Mula-mula naik benjol-benjol bengkak kat area leher depan dengan keliling bawah lengan. Suspect alergik makan ke apa ni. Tapi husband saya adalah seorang yang TIDAK ALERGIK selama ni. Yang selalu alergik tu saya ngan anak-anak. Jadi teramatlah pelik bila beliau kena.

Fikir lagi apa punca ni. Dok flashback menu sepanjang hari. Nasik lemak sambal sotong. Nasi goreng dengan telur mata. Penyebabnya apa? Telur? Sotong?

Entah. Tak tahu.

Jadinya sapu jelah HERBAL BLEND sebab gatal kan. Kat rumah ni, apa saja kejadian kat kulit, semua sapu krim ni. Dari baby sampai ke mak bapak. Maka sapulah saya krim tu ke kawasan yang merah-merah dan bengkak tu. Lepas tu husband lepak-lepak baring atas kusyen 3 bijik.

Bertambah gatal. Merah bengkak mula makin naik dan merebak pulak ke lengan dan dada. Haih dah kenapa pulak?

Kami suspect kusyen pulak. Kot hama ke habuk ke.

Lepas tu google sakan la cari info gegata.

Haa memang punca mungkin habuk atau makanan tapi selalunya makanan laut. Dan rawatannya hanyalah ubat sapu dan antibiotik, kalau pi klinik. Insya Allah gegata ni akan hilang gitu je. Jadi malam tu sapu krim HB je lah bagi reda gatal. Dan top up dengan VITAMIN C. Alahan ni biasanya berkait dengan imun rendah. Jadi kasi boost immune dengan vitamin C.

Sebenarnya kalau ada NUTRIFERON ni lagi baik tapi masa tu takde pulak stok kat rumah.

More info pasal gegata, KLIK SINI .

Esoknya tengok merah bengkak tu menjalar-jalar ke bawah pulak. Peha perut betis. Aih ni makin merebak ni. Maka husband decide pi klinik je sebab esoknya tu beliau ada program company nak kena attend. Takkan nak gi dengan tergaruk-garuk pulak kan.

Pi klinik, memang dokter kata alergik lah. Dapatlah 3-4 jenis ubat makan dan ubat sapu. Ubat makan ubat tahan gatal dan paracetamol in case demam. Ubat sapu untuk kurangkan gatal.

Alhamdulillah esoknya makin surut. Menjelang petang merah bengkak takde tapi kesannya masih ada lagi. Hari ni licin terus kulit..hilang terus! Alhamdulillah.

Jangan main-main ngan gegata ni. Kalau teruk boleh sampai naik satu badan. Dan agak-agak alergik makanan, kena pantang jap makanan yang diproses, makanan laut. Kadang telur ke ayam ke boleh jadi asbab juga.

Alhamdulillah husband dah ok dan hensem semula 