Terpulang pada individu. Keadaan kesihatan dan gaya hidup.
Kalau mampu makan mengikut diet seimbang, dan istiqamah begitu - alhamdulillah. Itu yang sebaik-baiknya. Makan daripada sumber yang kurang tercemar atau lebih baik, organik. Maklumlah sekarang banyak makanan dah makin kurang zatnya, akibat memenuhi permintaan yang terlalu tinggi, jadi pelbagai proses dilakukan untuk memastikan bekalan sentiasa ada, yang mana kadangkala memusnahkan kandungan zat dalam makanan itu sendiri. Tak masuk lagi bab racun perosak atau yang sewaktu dengannya. Sebab itu disarankan makan makanan yang berunsur organik. Lebih sihat, cuma mahal sikit sebab kualiti berbeza, kan.
Satu lagi, kenali gaya hidup kita. Jika rutin harian kita membuatkan kita selalu skip makanan atau mengamalkan cara pemakanan yang tidak teratur masanya, boleh juga mempengaruhi kesihatan. Atau seringkali makan makanan yang kurang menyihatkan. Dalam kuantiti berlebihan pula. Kesannya tak nampak sekarang, tapi masa akan datang. Boleh menyerang dalam diam tanpa kita sedar. Makan tu boleh, tapi tak boleh berlebihan. Kalau dah terlebih tu, kenalah kurangkan atau nyahkan. Tak elok simpan dalam badan lama-lama. Toksik.
Sama juga bagi ibu menyusu. Sebenarnya tak ada pun makanan spesifik yang mampu menghasilkan banyak susu. Bergantung kepada tubuh ibu itu sendiri sama ada serasi atau tidak. Dan yang paling penting dalam menghasilkan susu badan yang banyak adalah kena stress free atau kena HAPPY. Bila happy, susu akan terhasil lebih banyak, insya Allah. Saya pernah melalui keadaan begini dan saya pun terkejut juga. Tapi memberi pengajaran pada saya bahawa emosi dan nutrisi ibu paling penting dalam memastikan susu badan terhasil dengan jayanya, di samping konsep suppy and demand. Kalau tidak, tak berhasil juga.
Syukur. Syukur banyak-banyak ye ibu yang susu badan banyak tanpa perlu bantuan apa-apa makanan. Alhamdulillah. Itu yang terbaik. Maksudnya ibu happy, makan cukup dan seimbang, cukup rehat, tiada penyakit yang boleh mengganggu proses penyusuan.
Tapi... ada ibu yang tidak dikurniakan nikmat begitu oleh Allah. Rezeki masing-masing, kan. Fitrah kerja yang menuntut komitmen tinggi, emosi terganggu, makan tak menentu atau masalah-masalah penyusuan yang lain (tapi bukan sengaja tak mahu menyusu ya). Bayangkan betapa ibu begini terpaksa pastikan anak cukup susu walau apa sekalipun. Dan jalannya dengan berikhtiar menambahkan zat dalam badan dan mengawal emosi supaya tenang dan happy - untuk teruskan penyusuan. Di sinilah bermulanya pencarian alternatif untuk tingkatkan susu.
Sebelum mencuba apa-apa, fikirkan ini - produk tersebut bukan untuk tambahkan susu, tetapi bantu ibu lebih sihat maka susu akan lebih banyak terhasil. Badan yang sihat dan cukup zat yang mampu tingkatkan susu badan. Bukan sebab produk tersebut. Ia hanya membantu ibu mendapat zat yang cukup dan lengkap supaya susu badan mampu dihasilkan mengikut keperluan anak.
2 tahun. Ada yang rasa sekejap, ada yang rasa lama. Dan sepanjang tempoh itu, ibu perlu sangat tabah dan kuat. Tuntutan ibu menyusu yang bekerjaya juga amat besar. Tapi, ramai yang mampu melaluinya dan berjaya. Mohon Allah mudahkan proses ini - untuk kelangsungan anak sepanjang hidupnya. Banyak pahala ibu. Banyak juga pahala ayah yang bantu dan sokong ibu tadi. Semoga anak tu nanti dah besar, tak lupa mendoakan ibu ayahnya.
Memang tak dapat tidak, mesti nak bandingkan diri dengan orang lain bukan. Susu dia banyak tanpa makan apa-apa makanan tambahan pun. Si dia ni, makan macam-macam tapi susu tak cukup juga. Di situ pun boleh stres. Bila stres, lagi lah susu kurang :(
Kurangkan membanding. Keadaan kesihatan atau tubuh setiap orang tidak sama. Keperluan anak masing-masing juga tak sama. Susu dia banyak, rezeki Allah pada dia. Alhamdulillah. Rezeki kita mungkin berbeza. Tapi jangan sampai kita putus asa. Allah Maha Kuasa.
Saya pernah rasa keadaan yang mana tanpa dan dengan makanan tambahan, susu badan bertambah; juga keadaan yang mana ambil makanan tambahan tetapi tetap merudum. Bukan salah makanan tambahan, salah sendiri. Emosi tak terkawal, makan tak jaga, makan makanan tambahan tak konsisten. Jadi, bukan salah apa atau siapa - diri sendiri. Itu hanya MEMBANTU melancarkan proses sahaja.
Jika anda mampu ada susu badan yang banyak tanpa ambil makanan tambahan, alhamdulillah. Jangan pandang serong ibu yang ambil makanan tambahan untuk tujuan itu. Kita tak tahu keadaan kesihatan dia atau kita di masa akan datang (bukan minta jadi masalah). Cuma masing-masing tetap kena bersyukur masih ada niat nak teruskan penyusuan.
Walau apapun kaedah yang anda pilih, semuanya untuk kebaikan anak, kan. Tahniah untuk semua ibu yang menyusu!
Saya suka berkongsi pengalaman penyusuan. Sebab saya akan dapat pelbagai pengalaman yang berbeza.